Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan

Selasa, 6 Oktober 2026

Tipu syarikat lebih RM6.2 juta, bekas pegawai pemasaran dipenjara 5 tahun

Tipu syarikat lebih RM6.2 juta, bekas pegawai pemasaran dipenjara 5 tahun


Bekas pegawai pemasaran dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan maksimum 24 sebatan oleh Mahkamah Majistret Tawau, pada Isnin selepas didapati bersalah atas 26 pertuduhan menipu syarikat tempatnya bekerja membabitkan kerugian lebih RM6.2 juta, tiga tahun lalu.


Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Mok Chuang Leon, 38, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadapnya melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Bagi setiap 26 pertuduhan, tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan, dengan semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.


Bagaimanapun, mahkamah menetapkan maksimum 24 sebatan sahaja boleh dilaksanakan selaras dengan Seksyen 288(5) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).


Mok didakwa dengan curangnya menipu dan memperdaya kerani syarikat tempatnya bekerja supaya menyerahkan wang berjumlah RM6,212,266.84 dengan mengemukakan penyata bulanan jualan buah kelapa sawit yang tidak benar oleh dua syarikat miliknya iaitu Ampel Agent dan Sawit Borneo Sdn Bhd.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Perdana Square Commercial Centre, Batu 3½, Jalan Apas, Tawau antara Februari 2023 hingga Februari 2024.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Perbicaraan kes itu bermula pada 24 April 2025 dengan pihak pendakwaan memanggil 24 saksi untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan hanya memanggil tertuduh sebagai saksi tunggal.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye.


Dalam rayuan mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan, peguam memaklumkan kira-kira RM1.2 juta daripada jumlah terbabit sudah dikembalikan yang menurut pembelaan adalah faktor mitigasi penting dalam menilai kesan kewangan kesalahan serta usaha tertuduh membuat bayaran balik.


Pembelaan turut memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan mengambil kira keadaan peribadi tertuduh yang juga bapa tunggal dan menyara seorang anak lelaki berusia 10 tahun.


Pembelaan turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan sabitan difailkan di Mahkamah Tinggi.


Mahkamah kemudian membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman, dengan syarat notis rayuan difailkan semalam.


Bagaimanapun, jumlah jaminan dan syarat jaminan sedia ada dikekalkan sehingga rayuan berkenaan diputuskan.

Jumaat, 2 Oktober 2026

Wanita ditemui maut dipercayai dibunuh suami di sebuah rumah pekerja ladang di Tawau

Wanita ditemui maut dipercayai dibunuh suami di sebuah rumah pekerja ladang di Tawau


Seorang wanita maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah pekerja ladang di Felda Umas, Jalan Kalabakan, petang Isnin.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu, mangsa ialah wanita warga Indonesia berusia 37 tahun yang bekerja di ladang berkenaan.


"Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di rumah berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan kira-kira jam 8.16 malam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun yang merupakan suami mangsa.


"Suspek turut mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kini menerima rawatan di Hospital Tawau.


"Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala, leher dan tangan mangsa," katanya.


Rosdi berkata, pemeriksaan di lokasi turut membawa kepada rampasan beberapa barang kes, termasuk sabit dan kayu untuk membantu siasatan.


"Siasatan lanjut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hubungan rumah tangga selepas mereka kembali daripada bercuti. Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.


Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


"Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan forensik, analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA), laporan perubatan dan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan.


"Sebarang pengakuan awal suspek masih tertakluk kepada pengesahan melalui bukti-bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan," katanya.


Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Khamis, 1 Oktober 2026

Lelaki dipenjara 13 tahun kerana bunuh rakan rogol anak

Lelaki dipenjara 13 tahun kerana bunuh rakan rogol anak


Seorang lelaki warga Indonesia dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian rakan senegaranya pada Ogos 2024.


Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 30 tahun itu, yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sebelum digantikan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) kanun sama.


Mahkamah turut memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 September 2024, serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman penjara berkenaan.


Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa menyebabkan kematian mangsa, lelaki berusia 33 tahun, di sebuah rumah tidak bernombor di Tawau, antara kira-kira 7.30 malam 31 Ogos 2024 hingga tengah hari 1 September 2024.


Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Jhessery P Kang.


Berdasarkan fakta kes, kejadian itu berlaku selepas anak perempuan tertuduh yang ketika itu berusia 12 tahun memberitahu ibunya bahawa dia dirogol si mati ketika dalam perjalanan pulang daripada satu majlis keramaian pada malam kejadian.


Tertuduh yang mengetahui perkara itu kemudian mengambil sebilah parang dan mencari mangsa sebelum mengejarnya ke kawasan reban ayam berdekatan dan melibas lelaki itu beberapa kali.


Pemeriksaan di Hospital Tawau mendapati terdapat koyakan baharu pada bahagian sulit anak tertuduh, manakala analisis Jabatan Kimia Malaysia mendapati DNA si mati terdapat pada kepingan kuku anak tertuduh dan kesan air mani pada seluar dalamnya sepadan dengan DNA mangsa.


Polis turut merampas parang digunakan dalam kejadian itu daripada tertuduh ketika dia ditahan polis di rumahnya pada 2 September 2024.

Ahad, 27 September 2026

'Pondan' pengedar ekstasi dicekup ketika hantar bekalan dadah ke pusat hiburan

'Pondan' pengedar ekstasi dicekup ketika hantar bekalan dadah ke pusat hiburan


Menampilkan diri sebagai wanita dan bergerak menggunakan sebuah kereta elektrik, namun individu yang sebenarnya lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai aktif membekalkan ekstasi kepada pelanggan pusat hiburan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.


Kegiatannya terbongkar apabila dia dicekup ketika dipercayai sedang menghantar bekalan dadah kepada pembeli di Jalan Pintas, Penampang, jam 10.40 malam, kelmarin.


Suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dalam operasi hasil maklumat orang awam mengenai kegiatan pengedaran dadah.


Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemukan lapan paket serbuk disyaki ekstasi seberat 190.94 gram dan enam biji pil disyaki ekstasi seberat 2.80 gram.


"Keseluruhan dadah dirampas seberat 193.74 gram dengan anggaran nilai RM6,400.


"Polis turut merampas sebuah telefon jenama iPhone 16 Pro Max dan sebuah kenderaan BYD berwarna putih," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal dadah termasuk serbuk ekstasi, ketamin dan bahan dikenali sebagai 'jus' kepada pelanggan pusat hiburan.


Katanya, kegiatan suspek dipercayai tertumpu di beberapa pusat hiburan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.


"Pemeriksaan susulan turut dilakukan di kediaman suspek, namun tidak menemukan sebarang barang salah.


"Ujian saringan air kencing terhadap suspek pula didapati positif methamphetamine (METH), amphetamine (AMP), ketamine dan benzodiazepine (BZO)," katanya.


Alhusin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rakan sejenayah suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Antara dadah yang dirampas JSJN Sabah termasuk paket disyaki mengandungi serbuk ekstasi, dalam operasi di Jalan Pintas, Penampang. - Foto PDRM.

Khamis, 24 September 2026

Tertuduh menangis di mahkamah, kes bunuh penebar roti canai terpaksa ditangguh

Tertuduh menangis di mahkamah, kes bunuh penebar roti canai terpaksa ditangguh


Prosiding pertuduhan kes bunuh seorang wanita di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, terpaksa ditunda ke tarikh baharu apabila tertuduh tiba-tiba beremosi.


Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 35, pada awalnya bersedia untuk membuat pengakuan bersalah bagaimanapun menangis dan berdiam diri di kandang tertuduh selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.


Kesan emosi tidak stabil tertuduh, memaksa hakim mengarahkan prosiding ditangguhkan seketika bagi membolehkan tertuduh bertenang.


Prosiding kemudian bersambung semula dengan peguam bela memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes. Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan difahamkan tertuduh mahu mempertimbangkan semula pendiriannya atas kehendak sendiri, sebelum tertuduh mengesahkan perkara berkenaan.


Peguam Kamarudin Mohmad Chinki turut memaklumkan bahawa pihaknya telah berunding dengan anak guamnya ketika berada di penjara dan mengesahkan perkara sama.


Pendakwaan kemudian memohon supaya pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan kepada tertuduh.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang wanita penebar roti canai, Sirlin Salleh di kawasan semak Kampung Pisang, dalam daerah Lahad Datu, antara kira-kira 6 pagi hingga 8 pagi pada 14 November 2023.


Berdasarkan fakta kes, mayat wanita itu ditemukan di kawasan kebun pisang berhampiran lampu isyarat Kampung Pisang jam 8.26 pagi pada hari kejadian.


Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan di leher yang kemudiannya dikenal pasti sebagai punca kematian berdasarkan bedah siasat.


Beberapa sampel forensik diambil daripada mangsa dan dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia sementara hasil analisis bertarikh 2 Januari 2025 mendapati sampel darah tertuduh sepadan dengan sampel DNA yang diperoleh daripada pakaian dalam mangsa.

Ahad, 20 September 2026

Lelaki 18 tahun ditahan selepas ceroboh bilik dan cabul pelancong wanita warga China

Lelaki 18 tahun ditahan selepas ceroboh bilik dan cabul pelancong wanita warga China


Seorang lelaki ditahan selepas pelancong wanita warga China mendakwa seorang individu menceroboh bilik sebelum mencabulnya di sebuah resort di Jalan Kamiri, Semporna, awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika mangsa yang berusia 25 tahun sedang tidur di dalam bilik penginapan berkenaan.


Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa mendakwa tersedar apabila merasakan seseorang sedang menanggalkan sebahagian pakaiannya sebelum berlaku pergelutan ketika suspek cuba memegang tangan mangsa.


"Mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri dari bilik berkenaan dan bersembunyi di kawasan semak berhampiran sebelum ditemui seorang pekerja resort pada waktu pagi.


"Ketika melarikan diri, mangsa turut mendakwa rambutnya ditarik oleh suspek sehingga menyebabkan dia terjatuh," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Tan berkata, bertindak hasil maklumat dan siasatan awal, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menahan suspek kira-kira jam 8 malam pada hari yang sama di kawasan resort berkenaan.


"Suspek berusia 18 tahun itu kemudian dibawa ke IPD Semporna bagi membantu siasatan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan," katanya.

Sabtu, 19 September 2026

Sembilan anggota polis bebas daripada tuduhan rasuah

Sembilan anggota polis bebas daripada tuduhan rasuah


Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, semalam melepas dan membebaskan sembilan anggota polis daripada pertuduhan menerima rasuah.


Mereka ialah Inspektor Joevian Gubal Michael, Sarjan Azizul Ismail, Lans Koperal Hairul Amid, Konstabel Afizul Azwan Anuar, Koperal Abdullah Bakir, Inspektor Bobby Rhyne Warry Nawari, Koperal Haikal Ibrahim Abdullah, Koperal Sebestino Bong dan Koperal Jameswell anak Lakin.


Hakim Jason Juga membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur pertuduhan di akhir kes pendakwaan.


Jason berkata, wujud keraguan dalam keterangan yang dikemukakan dan pendakwaan gagal membuktikan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berdasarkan penilaian maksima.


"Hasil penilaian keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pendakwaan, mahkamah mendapati wujud keraguan pada keterangan yang dianjurkan sekali gus gagal membuktikan tertuduh menerima rasuah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


"Berdasarkan kekuatan keterangan pendakwaan, mahkamah tidak bersedia untuk disabitkan tertuduh sekiranya mereka memilih untuk berdiam diri jika dipanggil membela diri. Justeru, tiada kes prima facie dibuktikan dan kesemua sembilan tertuduh berhak dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri mengikut Seksyen 173(f)(ii) Kanun Tataacara Jenayah (CPC)," katanya.


Kesemua tertuduh memohon dibicarakan sewaktu dihadapkan ke mahkamah pada 2021.


Sembilan anggota polis terbabit berdepan beberapa pertuduhan membabitkan nilai suapan berbeza yang didakwa diterima daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang berhubung kesalahan dadah.


Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pelbagai tarikh antara April 2014 hingga Julai 2018, dengan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank milik kesemua tertuduh.


Abdullah berdepan pertuduhan tertinggi iaitu 18 pertuduhan membabitkan RM2,200, diikuti Haikal dengan sembilan pertuduhan membabitkan RM1,570 dan Bobby berdepan delapan pertuduhan membabitkan RM3,600.


Hairul berdepan lima pertuduhan membabitkan RM2,000, manakala Joevian, Afizul dan Azizul masing-masing berdepan empat pertuduhan membabitkan nilai RM2,400, RM470 dan RM900.


Dalam pada itu, James berdepan tiga pertuduhan membabitkan RM600, manakala Sabestino berdepan dua pertuduhan membabitkan RM300. Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bersama itu. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi.


Joevian dan Azizul diwakili peguam Sylyester Kuan; Hairul, Afizul, Abdullah, Haikal dan Jameswell diwakili Mohd Azhier Farhan Arisin; Bobby diwakili Batholomew Jingulam serta Edward Paul, manakala Sebestino diwakili Luke Ressa Balang.

Urus gantian MyKad, wanita kantoi miliki kad pengenalan palsu dipenjara empat bulan

Urus gantian MyKad, wanita kantoi miliki kad pengenalan palsu dipenjara empat bulan


Hasrat seorang wanita berusia 55 tahun menguruskan gantian kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah membawa kepada penahanannya selepas dia didapati memiliki kad pengenalan palsu.


Jamilah Akrim kemudian dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.


Mahkamah turut memerintahkan Jamilah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.


Mengikut pertuduhan, Jamilah tanpa kuasa yang sah memiliki sekeping Kad Pengenalan Plastik (KPP) palsu atas namanya kira-kira jam 11.30 pagi pada 10 September lalu di Bahagian Kad Pengenalan, JPN Sabah.


Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, Jamilah hadir ke Bahagian Kad Pengenalan, JPN Sabah Sabah dengan mengemukakan KPP beliau untuk merujuk dan membuat gantian kad pengenalan tersebut.


Bagaimanapun, semakan awal oleh pegawai JPN mendapati kad pengenalan berkenaan tidak wujud dalam rekod sistem jabatan itu, menyebabkan Jamilah ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu.


Semakan lanjut terhadap kedua-dua cap ibu jarinya turut mendapati ia tidak merujuk kepada mana-mana rekod dalam sistem JPN.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohamad Faizal Tahir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Sementara itu, JPN Sabah dalam kenyataan menegaskan komitmennya untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dokumen pengenalan diri bagi memastikan integriti sistem pendaftaran negara terus terpelihara serta mencegah penyalahgunaan dokumen berkenaan.

Khamis, 17 September 2026

Miliki 200 liter diesel tanpa permit, lelaki didenda RM5,000

Miliki 200 liter diesel tanpa permit, lelaki didenda RM5,000


Seorang lelaki tempatan didenda RM5,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen Tawau selepas mengaku bersalah memiliki barang kawalan tanpa permit.


Lelaki berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.


Mahkamah turut memerintahkan 200 liter minyak diesel yang disyaki diesel bersubsidi dan disita dalam kes itu dilucuthakkan untuk dijadikan hasil kerajaan.


Barang-barang bukan kawalan yang turut disita pula diperintahkan diserahkan kepada pihak pendakwaan selaras dengan Seksyen 26(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.


Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau, Nurfauziahanadjuliti Mohd Amin.


Ketua Cawangan KPDN Tawau, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, kejayaan pendakwaan itu membuktikan komitmen dan ketegasan KPDN dalam membanteras kegiatan penyelewengan serta penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi, khususnya melibatkan pemilikan dan pengendalian barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.


Beliau berkata, KPDN Cawangan Tawau akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang berkaitan kawalan bekalan.


Tindakan itu katanya, selaras dengan komitmen KPDN untuk memastikan bekalan barang kawalan bersubsidi kekal dilindungi dan hanya digunakan bagi tujuan yang dibenarkan demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat.


"KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi," katanya.

Isnin, 14 September 2026

Lelaki 72 tahun tak mengaku bunuh, kerat wanita di Sepanggar

Lelaki 72 tahun tak mengaku bunuh, kerat wanita di Sepanggar


Seorang lelaki berusia 72 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan dikerat di Sepanggar, Februari lalu.


Piluta Samad, 72, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.


Sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan, pesalah lelaki berumur bawah 50 tahun juga boleh dikenakan hukuman minimum 12 sebatan.


Piluta pertama kali didakwa di Mahkamah Majistret pada 27 Februari tahun ini, namun tiada pengakuan direkodkan ketika itu.


Kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 8 September selepas Piluta menjalani penilaian mental atas permintaan pasukan peguam belanya.


Pada 23 Julai, laporan hospital mengesahkan Piluta layak untuk dibicarakan dan tidak menderita sebarang penyakit mental.


Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Naziah Mokhtar dan Timbalan Pendakwa Raya, Samira Khalili, bertindak bagi pihak pendakwaan.


Piluta diwakili oleh peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh, Ian Vun, Prem Elmer Ganasan dan Prabjit Singh Gill.


Mahkamah menetapkan 19 Oktober ini bagi pengurusan kes sebelum perbicaraan.

Sabtu, 12 September 2026

Selisih faham, tekanan selepas bercerai dipercayai punca ibu kandung maut ditikam

Selisih faham, tekanan selepas bercerai dipercayai punca ibu kandung maut ditikam


Perselisihan faham antara dua beranak serta tekanan selepas bercerai dipercayai menjadi punca seorang wanita ditikam di bahagian perut sebelum dilaporkan maut dalam kejadian di Kampung Katagayan, Tambunan, semalam.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 31 tahun dipercayai berdepan tekanan selepas baru bercerai.


"Siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham dan suspek menghadapi tekanan disebabkan baru bercerai.


"Dalam kejadian itu, suspek menggunakan senjata jenis pisau sehingga menyebabkan ibunya cedera di bahagian perut," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai punca kejadian dan senjata yang digunakan sehingga mencederakan mangsa berusia 56 tahun yang juga ibu kandung suspek.



Sebelum itu, lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian ibunya yang ditemukan mengalami kecederaan di sebuah rumah sewa.


Polis menerima laporan berhubung kematian wanita itu kira-kira jam 2 petang.


Suspek kemudiannya berjaya ditahan oleh penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung, Tambunan, sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan.


Beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut dirampas, manakala mayat mangsa dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rabu, 2 September 2026

Ganggu dan ugut isteri berulang kali, lelaki 39 tahun ditahan

Ganggu dan ugut isteri berulang kali, lelaki 39 tahun ditahan


Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki mengganggu dan mengugut isterinya secara berulang kali sehingga mangsa bimbang terhadap keselamatan dirinya.


Suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di tempat kerjanya di sebuah hospital di daerah ini.


Menurutnya, suspek yang juga suami mangsa dipercayai datang ke lokasi berkenaan sebelum mengugut untuk mencederakan mangsa selepas wanita itu didakwa tidak mengikut arahannya.


"Selain itu, suspek turut menghantar pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp yang mengandungi ugutan terhadap keselamatan mangsa.


“Mangsa yang berasa takut dan bimbang susulan gangguan serta ancaman yang berlaku berulang kali kemudian membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Susulan laporan berkenaan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan usaha mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di sebuah bilik sewa di Jalan Dunlop, Tawau.


Wilynton berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit berwarna putih bersama kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.


“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merakam percakapan suspek, mangsa dan saksi bagi melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.


Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil ringan sebarang bentuk ugutan atau ancaman terhadap keselamatan diri.


Katanya, mangsa atau individu yang berdepan situasi sedemikian dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Selasa, 1 September 2026

Pasangan suami isteri ditahan di Kudat, bunga ganja RM3.56 juta dirampas

Pasangan suami isteri ditahan di Kudat, bunga ganja RM3.56 juta dirampas


Pasangan suami isteri ditahan selepas polis merampas 44.3 kilogram bunga ganja dan 5.6 kilogram ganja bernilai keseluruhan RM3.56 juta dalam operasi di Kudat, 20 Ogos lalu. Rampasan bunga ganja berkenaan adalah yang pertama seumpamanya direkodkan di Sabah.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun dan isterinya yang juga warga asing berusia 32 tahun ditahan susulan maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Sabah.


Katanya, suspek lelaki ditahan kira-kira 4.40 petang di gelanggang bola tampar Kampung Tanjong Kapor, Kudat.


"Isterinya pula ditahan kira-kira 10 minit kemudian di tepi jalan kampung sama.


"Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat bersama empat bungkusan plastik disyaki mengandungi bunga ganja dan ganja," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil.


Jauteh berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 75 paket plastik disyaki mengandungi bunga ganja seberat 44.3 kilogram dan 10 paket plastik disyaki ganja seberat 5.6 kilogram.


"Keseluruhan dadah seberat 49.9 kilogram itu dianggarkan bernilai RM3.56 juta dan dipercayai mampu menampung kira-kira 99,800 penagih bagi sekali penggunaan.


"Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), manakala isterinya tidak mempunyai rekod lampau," katanya.


Katanya lagi, saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan amphetamine, manakala isterinya negatif dadah.


"Kedua-dua suspek sudah dituduh di Mahkamah Kudat pada 28 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


"Kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada polis," katanya.


Menurutnya, JSJN Kontinjen Sabah kekal komited membanteras kegiatan pengedaran dadah bagi melindungi generasi masakini dan akan datang.

Jumaat, 28 Ogos 2026

Menyamar penguat kuasa, dua lelaki peras warga asing RM1,500 dicekup orang kampung

Menyamar penguat kuasa, dua lelaki peras warga asing RM1,500 dicekup orang kampung


Dua lelaki ditahan selepas disyaki memeras seorang warga asing dengan menyamar sebagai anggota penguat kuasa dalam kejadian di Kampung Koidupan Sugud di Penampang, tengah malam tadi (Jumaat).


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, dua suspek masing-masing berusia 19 dan 28 tahun itu dipercayai meminta wang sebanyak RM1,500 daripada mangsa selepas mendakwa lelaki berkenaan melakukan kesalahan mengenai dokumen pengenalan diri.


"Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, kedua-dua suspek yang memakai pakaian seragam menyerupai agensi penguat kuasa meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri sebelum mendakwa mangsa melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan pasport.


"Bagaimanapun, apabila kedua-dua suspek diminta menunjukkan kad kuasa, mereka tiba-tiba cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, polis turut merampas beberapa helai pakaian menyerupai seragam agensi penguat kuasa yang dipercayai digunakan suspek.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam.


"Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.


"Manakala Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pesta dadah di inap desa: Enam individu didakwa edar 659.16 gram MDMA

Pesta dadah di inap desa: Enam individu didakwa edar 659.16 gram MDMA


Enam individu termasuk tiga wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, hari ini atas pertuduhan bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 659.16 gram di sebuah inap desa di Taman Nordin, Tawau, awal pagi kelmarin.


Tertuduh ialah Hang Vui Hiung, 29, Lisyanti Ibrahim, 39, Shazzreena, 20, Muhammad Haikal Daniel Azman, 23, Sherlin Liew Zi Ling, 26, dan Andi Moh Arifai Tatta, 29.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu jam 4.30 pagi di tingkat bawah dalam sebuah bilik inap desa berkenaan.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.



Semua tertuduh mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar dadah itu memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Dalam pertuduhan kedua, semua tertuduh didakwa bersama-sama mempunyai dalam kawalan mereka dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat kasar 1.16 gram pada tarikh, masa dan lokasi sama. Bagi pertuduhan itu, semua tertuduh mengaku salah.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.


Mahkamah kemudian menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia berhubung berat sebenar dadah, seperti dimohon pihak pendakwaan.


Tiada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.


Semua tertuduh sebelum ini direman selama empat hari bermula 26 Ogos lalu selepas ditahan dalam satu serbuan susulan aduan dan maklumat mengenai pesta dipercayai membabitkan penyalahgunaan dadah di inap desa.


Premis penginapan mewah itu dipercayai menawarkan kadar sewaan kira-kira RM1,500 semalam.

Khamis, 27 Ogos 2026

Rogol anak kandung, bapa durjana dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

Rogol anak kandung, bapa durjana dipenjara 15 tahun, 10 sebatan


Seorang bekas pekerja kilang dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 12 tahun tiga bulan, Februari tahun lalu.


Tertuduh berusia 61 tahun membuat pengakuan bersalah pada prosiding perbicaraan hari kedua hari ini, selepas pihak pendakwaan memanggil enam saksi untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan semalam.


Hakim Suhailla Selag kemudian mensabitkan tertuduh atas pertuduhan sebelum menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini serta 10 kali sebatan rotan.


Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anaknya di sebuah rumah di Kunak, kira-kira jam 11 malam pada Februari tahun lalu.


Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.


Selain hukuman itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sepanjang tempoh tahanannya.


Tertuduh juga diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara, mengikut Seksyen 27 akta sama.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan sudah mengaku salah atas perbuatan dan kesalahan dilakukannya.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira tertuduh melakukan kesalahan itu terhadap anak kandungnya sendiri.


Beliau berkata, sebagai seorang bapa, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung kepada anaknya daripada sebarang ancaman pihak lain, namun sebaliknya telah melakukan kesalahan terhadap mangsa.


Mengikut fakta kes, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ibunya pada kira-kira jam 9 pagi, 7 Februari 2025.


Mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun tiga bulan tinggal bersama tertuduh selepas lelaki berkenaan bercerai.