Dua Pembantu Pendaftaran Gred KP22, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masing-masing dijatuhi hukuman 12 bulan penjara dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di Tawau hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah, enam tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Jason terhadap Yuliana Saat, 50, dan Azmi Amir Lunji, 48, yang didapati bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di akhir kes pembelaan.
Jason dalam penghakimannya berkata, kedua-dua tertuduh didapati gagal untuk menyangkal anggapan statutori di bawah Seksyen 50 Akta SPRM 2009 berdasarkan Keseimbangan Kebarangkalian terhadap pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
"Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan pindaan itu melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.
"Bagaimanapun selepas mendengar rayuan bagi pihak kedua-dua tertuduh dan hujahan balas daripada pihak pendakwaan selain menimbangkan fakta kes, jenis kesalahan yang dilakukan, serta mengambil kira kepentingan awam, mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dan denda sebanyak RM10,000.
"Sekiranya gagal membayar denda kedua-dua tertuduh dikehendaki menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan," katanya.
Mengikut kertas pertuduhan pindaan, Yuliana dan Azmi yang bertugas di JPN Cawangan Semporna, masing-masing secara rasuah memperolehi daripada seorang wanita dikenali sebagai Sufiah Said suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM2,000 pada 26 April 2017.
Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk menerima dan memproses permohonan pendaftaran kad pengenalan anak kembar Sufiah yang berusia 12 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rekhraj Singh manakala Yuliana diwakili peguam Datu Baginda Datu Laja, dan Azmi diwakili peguam Jakariya Ab Jalil.
Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu notis permohonan rayuan kedua-kedua tertuduh difailkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh sabitan hari ini.
Bagaimanapun kedua-dua tertuduh dikehendaki menjelaskan bayaran denda pada hari ini. Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan.
EmoticonEmoticon