Jumaat, 21 Ogos 2026

Kontraktor 'lalok' direman 4 hari kerana langgar mangsa pandu kereta perlahan


Seorang kontraktor yang didapati positif dadah methampethamin, direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, semalam kerana merempuh seorang lelaki yang didakwa memandu kereta terlalu perlahan.


Reman ke atas suspek berusia 24 tahun dibenarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bermula semalam sehingga Ahad ini bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut.


Ia juga bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.


Berdasarkan laporan polis dibuat mangsa, suspek memandu kenderaan dan mengekori belakang kereta dipandunya.


Namun, suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana mangsa memandu agak perlahan sebelum berulang kali membunyikan hon.


Bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkannya dan suspek mengekori lelaki itu hingga ke sebuah kedai mencuci kenderaan di Simpang 3, Parit Sulong, Batu Pahat.


Sewaktu keluar dari kenderaannya untuk menyelesaikan kes, suspek tiba-tiba menekan pedal lalu melanggar mangsa yang berada di hadapan kereta dipandunya.


Mangsa bernasib baik kerana sempat melompat ke atas but hadapan kereta suspek dan hanya mengalami kecederaan di lutut.


Siasatan awal polis mendapati, suspek ketika itu mahu menghantar isterinya bekerja di sebuah kedai membuat kek dan roti.


Semakan rekod mendapati, suspek pernah didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Mac tahun lalu kerana mendatangkan kecederaan terhadap isteri serta anak lelakinya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon