Rabu, 30 September 2026

Lelaki dilarikan sekumpulan individu depan bengkel, mayat ditemui ditanam di Semenyih


Seorang penjual durian disyaki dibunuh selepas dilarikan sekumpulan individu dari hadapan sebuah bengkel kereta di Ampang Waterfront, Ampang Jaya, Kuala Lumpur, awal pagi Khamis lalu.


Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an, dikenali sebagai Mulia dipercayai dilarikan oleh suspek dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Honda.


Seorang pemilik bengkel, yang enggan dikenali berkata, dia melihat rakannya dilarikan oleh suspek dari hadapan bengkelnya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya.


"Saya bertemu mangsa sejam sebelum dilarikan. Ketika itu dia menghantar kenderaannya ke bengkel saya untuk dibaiki pada awal pagi Khamis sebelum saya pulang ke rumah


"Pada siang hari (Khamis), saya dihubungi oleh isteri dan adik mangsa yang memaklumkan Mulia tidak pulang ke rumah sebelum saya ke bengkel dan meneliti rakaman CCTV.


"Berdasarkan rakaman itu, kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi, yang mana Mulia dibawa menaiki sebuah kereta, sebelum saya menyarankan isteri dan adiknya untuk membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.


Pemilik bengkel berkata, dia kemudian dihubungi oleh isteri mangsa pada awal pagi Isnin lalu memaklumkan Mulia sudah meninggal dunia disyaki menjadi mangsa bunuh.


"Isnin lalu, saya ada bertemu dengan adik dan isteri mangsa di Hospital Serdang, kami difahamkan ketika ini pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut," katanya.


Menurutnya, rakaman CCTV di bengkelnya juga sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.


Dalam perkembangan berkaitan, mayat seorang lelaki yang ditemui ditanam di satu kawasan di Semenyih, Kajang, Ahad lalu dipercayai adalah mayat mangsa.


Pada masa ini, usaha mendapatkan pengesahan daripada Polis Daerah Kajang dan Polis Daerah Ampang sudah dilakukan namun masih menemui jalan buntu.


Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak polis sudah menahan beberapa individu yang disyaki terbabit bagi membantu siasatan selain sedang mengesan saki-baki suspek utama.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon