Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas empat tuduhan menerima suapan keseluruhan RM2,400 sebagai balasan memberi maklumat berkait operasi atau serbuan polis kepada seorang individu, empat tahun lalu.
Roslee Mamat, 43, didakwa di hadapan Hakim Azman Mustapha mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Roslee dituduh sebagai anggota polis berpangkat Sarjan Mejar di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu menerima suapan antara RM1,000 hingga RM400 daripada seorang individu.
Ia sebagai dorongan untuknya memberikan perlindungan dengan memberikan maklumat lebih awal kepada individu terbabit sekiranya ada operasi atau serbuan akan dilakukan polis sebagai langkah berjaga-jaga atau melarikan diri bagi mengelak daripada ditangkap.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan di sebuah cawangan bank di Shah Alam, Selangor dan Masjid Gong Terap di Setiu pada Oktober dan Disember 2022.
Tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Amalina Najwa Mohd Ali.
Mahkamah membenarkan bapa lima anak itu diikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Roslee tidak dibenarkan untuk memiliki pasport antarabangsa sehingga kes selesai, tidak boleh berkomunikasi dengan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

EmoticonEmoticon