Rabu, 23 September 2026

Suami orang, janda bersekedudukan hingga dapat anak ditahan


Tidak hanya ditahan kerana berkhalwat dengan janda, malah seorang lelaki berstatus suami orang disyaki bersekedudukan hingga melahirkan anak.


Pasangan itu bagaimanapun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hasil serbuan di unit pangsapuri di Kluang jam 1.15 pagi tadi.


Menurut JAINJ, lelaki berusia 50-an itu mengaku bersekedudukan bersama wanita berusia 30-an sehingga melahirkan anak.


Katanya, sebelum tangkapan dilakukan, penguat kuasa menemui kereta dipercayai milik lelaki itu di kawasan parkir kediaman berkenaan.


"Ketika awal serbuan, penguat kuasa JAINJ mengetuk pintu kediaman sambil memberi salam namun tiada sesiapa menjawabnya.


"Selepas 25 minit, barulah seorang lelaki membuka pintu. Lelaki itu keluar dengan memakai baju T dan berseluar panjang.


"Penguat kuasa JAINJ memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa. Apabila ditanya, lelaki itu mendakwa dia tinggal bersama wanita yang juga bakal isterinya.


"Pemeriksaan di sebuah bilik menemukan seorang wanita memakai kain batik dan baju T selain bayinya sedang tidur," katanya.


Menurutnya, hasil soal siasat, pasangan itu mengaku tiada sebarang ikatan sah.


JAINJ berkata, lelaki itu kemudian cuba merayu dan mendakwa akan menanggung malu memandangkan ramai orang mengenalinya di daerah Kluang.


"Daripada maklumat diperolehi, bayi itu adalah anak wanita terbabit yang lahir di hospital. Hasil semakan, bayi itu hanya mempunyai nama ibu.


"Pada masa sama, lelaki itu turut mengaku beberapa kali melakukan aksi terlarang bersama wanita itu sepanjang berada di rumah itu sebelum ini.


"Lelaki terbabit bekerja di Kluang manakala pasangannya berniaga sambilan. Rumah ini disewa wanita terbabit namun lelaki itu kadang kala datang bertemu pasangannya," katanya.


Katanya, pasangan terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana khalwat dan Seksyen 23 enakmen sama kerana berzina," katanya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon