Memaparkan catatan dengan label Rasuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rasuah. Papar semua catatan

Isnin, 16 Februari 2026

Ramai lagi dalam 'radar', jangan ingat saya tidak tahu apa-apa – Agong

Ramai lagi dalam 'radar', jangan ingat saya tidak tahu apa-apa – Agong


Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan amaran bahawa lebih ramai lagi di dalam 'radar' Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.


Seri Paduka Baginda bertitah, rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.


"Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan atau mereka yang memberi dan menerima... malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi. Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


"Tidak kira apa jua pangkat anda… begitu juga ejen-ejen yang menjadi 'orang tengah' selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan… anda juga dalam 'radar'.


"Bah kata pepatah 'siapa makan cili, dia terasa pedas'… jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri," titah Seri Paduka Baginda pada Royal Press Office, hari ini.


Seri Paduka Baginda bertitah, usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik, kerana tiada siapa boleh terlepas dari undang-undang.


Sultan Ibrahim, bertitah sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.


"Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu," titah Seri Paduka Baginda.

Selasa, 10 Februari 2026

Rafizi gesa Perdana Menteri gantung serta merta Azam Baki

Rafizi gesa Perdana Menteri gantung serta merta Azam Baki


Ahli Parlimen Pandan menggesa Perdana Menteri menggantung tugas Tan Sri Azam Baki serta-merta supaya satu siasatan menyeluruh boleh dibuat berhubung tuduhan salah laku terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.


Rafizi Ramli berkata, ia satu tindakan wajar diambil Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya satu siasatan menyeluruh boleh dibuat berhubung tuduhan salah laku (pemilikan saham melebihi RM100,000).


Kedua, menyemak keseluruhan pemilikan harta beliau untuk memastikan bagaimana Azam boleh mempunyai wang sedemikian rupa.


Ketiga, memastikan sama ada Azam terbabit secara langsung atau tidak langsung, di dalam apa-apa urusniaga melibatkan MMAG Berhad dan NexG Berhad (terutamanya yang melibatkan perolehan awam).


“Saya menunggu maklum balas Anwar sebelum mengeluarkan kenyataan seterusnya," katanya dalam kenyataan malam ini.


Rafizi berkata demikian mengulas laporan media antarabangsa Bloomberg mengenai pemilikan saham oleh Azam yang secara terang-terangan melanggar peraturan kerajaan berhubung pemilikan saham oleh seorang pegawai tinggi penjawat awam.


"Memandangkan ia berkait rapat dengan kewibawaan SPRM sebagai institusi yang diberi amanah mencegah rasuah, saya percaya kontroversi ini akan mendapat perhatian rakyat dan masyarakat antarabangsa," kata bekas Menteri Ekonomi itu.


Laporan Bloomberg mendedahkan satu pelanggaran, iaitu pemilikan 17.7 juta saham di dalam sebuah syarikat senaraian awam Velocity Capital Partners Berhad. Berdasarkan harga hari ini, 17.7 juta saham ini dianggarkan bernilai RM800,000.


"Ini telah melanggar peraturan-peraturan yang mengikat penjawat awam, terutamanya yang terkandung di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002, yang secara khusus menyatakan bahawa , – ," kata Rafizi.


Malah menurutnya, kontroversi melibatkan pemilikan saham Velocity Capital Partners Berhad ini bukan melibatkan pelanggaran peraturan penjawat awam semata-mata.


"Satu perkara yang mewajarkan satu siasatan menyeluruh diadakan segera ialah urusniaga- urusniaga yang telah beberapa kali mengundang persoalan yang melibatkan beberapa syarikat kerana urusniaga-urusniaga ini dituduh melibatkan bekas Setiausaha Politik kepada Anwar iaitu Datuk Wira Farhash Wafa Salvador.


Pada 29 Mac 2025, rekod urusniaga saham menunjukkan Farhash menjadi pemegang saham terbesar sebuah syarikat senaraian awam MMAG Holdings Berhad dalam satu urusniaga melibatkan pembelian 462 juta saham MMAG yang dilaporkan bernilai RM184.8 juta.


Transaksi berlaku sehari selepas NexG Berhad (sebelumnya dikenali sebagai Datasonic Group Berhad) muncul sebagai pemegang saham utama di dalam MMAG Holdings Berhad, di dalam urusniaga membabitkan bayaran RM70 juta untuk memperolehi 173 juta saham atau 7.58% pegangan di dalam MMAG Holdings Berhad.


Ia menjadikan NexG Berhad dan Farhash pemegang-pemegang saham utama di dalam MMAG Berhad sekali gus mewujudkan pertalian perniagaan tidak langsung di antara NexG Berhad dan Farhash melalui MMAG Berhad, katanya.

Jumaat, 23 Januari 2026

Kes Tan Sri: Bermula RM10 juta, siasatan SPRM dikejutkan penemuan penyelewengan lebih RM300 juta

Kes Tan Sri: Bermula RM10 juta, siasatan SPRM dikejutkan penemuan penyelewengan lebih RM300 juta


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan mula menyiasat seorang pakar pelaburan terkenal bergelar Tan Sri apabila mendapat maklumat penyelewengan berlaku sekitar RM10 juta sahaja.


Bagaimanapun, siasatan seterusnya mendapati penyelewengan itu berkemungkinan terlalu besar dan boleh mencecah sehingga ratusan juta ringgit.


Kata sumber, suspek mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak untuk membuat pelaburan itu dan ada mangsa yang membuat pelaburan yang cukup besar.


"Siasatan mendapati suspek yang juga bekas pengarah syarikat itu disyaki menyalah guna dana pelaburan berjumlah RM6 juta.


"Bagaimanapun, hasil siasatan yang dijalankan pegawai penyiasat mendapati nilai dana yang diseleweng berkemungkinan mencecah ratusan juta ringgit. Ia diseleweng tanpa pengetahuan pelabur yang percaya akan mendapatkan pulangan yang lumayan," katanya hari ini.


Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, di satu acara di Kelantan mengesahkan, seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri disyaki menipu wang pelabur dipercayai mencecah jumlah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.


Beliau dipetik berkata suspek lelaki berusia 60-an yang juga pemilik sebuah syarikat swasta dan ahli kewangan Islam ditahan selepas tiba di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya, semalam.


Katanya, SPRM turut menahan seorang wanita yang juga ahli Lembaga Pengarah syarikat terbabit yang berpangkalan di Kuala Lumpur, kelmarin, untuk membantu siasatan kes sama.


"Kita mendapat maklumat bahawa Tan Sri berusia 60-an itu dan seorang wanita berumur 50-an yang memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat pelaburan, disyaki terbabit penipuan pelabur berskala besar.


"Ramai pelabur dari serata negara dilaporkan kehilangan ratusan juta ringgit. Malah, kita menganggarkan kerugian dialami pelabur itu mencecah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu," katanya.


Individu bergelar Tan Sri itu direman selama empat hari sehingga Ahad ini, selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.


Azam juga mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


22 Jan - Seorang lelaki bergelar Tan Sri antara dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan berskala besar dianggarkan bernilai lebih RM300 juta.

Khamis, 22 Januari 2026

Saman Sivil SRC: Najib akui RM42 juta dalam akaun peribadi bukan derma Arab Saudi

Saman Sivil SRC: Najib akui RM42 juta dalam akaun peribadi bukan derma Arab Saudi


Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa wang RM42 juta yang dimasukkan ke akaun bank peribadinya tiada sebarang kaitan dengan derma dari Arab Saudi.


Bekas perdana menteri itu membuat pengakuan tersebut ketika disoal balas oleh peguam SRC International Sdn Bhd, Kwan Will Sen, dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan terhadapnya oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.


"Pada ketika itu, saya menyangka ia adalah derma dari Arab Saudi," kata Najib.


Kwan: Pada fikiran anda - jika saya boleh menggunakan perkataan itu - pada ketika ini, adakah RM42 juta itu tidak ada kena-mengena dengan derma Arab Saudi?


Najib: Berdasarkan pengetahuan yang diperoleh kemudian, ya.


Terdahulu, Kwan meminta Najib mengakui bahawa pembelaan beliau berhubung "derma Arab Saudi" telah ditolak sepenuhnya oleh mahkamah dalam prosiding jenayah berkaitan.


Kwan: Pembelaan anda (derma Arab Saudi) telah ditolak di semua peringkat mahkamah (dalam kes jenayah SRC International). Betul?


Najib: Ya, tetapi saya perlu menjelaskan kerana saya tidak berpeluang memberikan penjelasan penuh di Mahkamah Persekutuan. Sebab itulah dalam prosiding semakan, salah seorang hakim - seorang hakim kanan - bersetuju dengan pendirian kami. Dalam semakan itu, beliau memutuskan bahawa saya tidak mendapat perbicaraan yang adil.


Kwan: Secara keseluruhan, dapatan majoriti mengekalkan kesimpulan bahawa dana tersebut bukan derma Arab Saudi. Adakah betul?


Najib menjawab: "Ya, malangnya begitu."


Najib turut mengakui bahawa Mahkamah Tinggi, dalam keputusan terbaharu perbicaraan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memutuskan tiada bukti dokumentari yang menyokong pembelaan beliau berhubung "derma Arab Saudi".


Saman sivil yang difailkan pada tahun 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari itu menuntut satu pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta berkenaan, selain menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.


Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

Ada ganjaran lapor cubaan sogok libatkan penjawat awam

Ada ganjaran lapor cubaan sogok libatkan penjawat awam


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang mempergiat usaha memerangi rasuah menerusi pendekatan digital apabila melancarkan inisiatif e-flyer Mutiara SPRM Pulau Pinang.


Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy berkata, menerusi usaha itu, penjawat awam digesa tampil melaporkan sebarang cubaan rasuah termasuk dengan tawaran ganjaran tunai.


Katanya, inisiatif itu diperkenalkan menerusi program kerjasama strategik bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) khusus melibatkan unit penguatkuasaan dan pelesenan.


Menurutnya, langkah berkenaan selari dengan usaha SPRM untuk memperkasa pegawai penguat kuasa agar berintegriti serta berani mengambil tindakan sekiranya berdepan tawaran sogokan ketika menjalankan tugas.


"Kita mahu pegawai di lapangan tampil melaporkan jika ditawarkan rasuah. Kerajaan telah menyediakan garis panduan yang membolehkan penjawat awam menerima ganjaran berdasarkan nilai sogokan yang dilaporkan.


"Insentif ini sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi membanteras rasuah dari peringkat awal," katanya kepada media selepas Program Dialog Antirasuah Kerjasama Antara SPRM Pulau Pinang dan MBPP di Komtar, George Town pada Rabu.


E-flyer Mutiara SPRM Pulau Pinang merupakan bahan kesedaran digital yang dilengkapi kod QR bagi memudahkan akses dan perkongsian maklumat oleh ketua jabatan serta pegawai.


Karunanithy berkata, e-flyer berkenaan akan menampilkan tema berbeza setiap bulan antaranya cara membuat laporan kepada SPRM, kaedah menyalurkan maklumat berkualiti serta tip pencegahan rasuah secara praktikal.


"Bahan ini direka supaya mudah dikongsi melalui platform seperti WhatsApp dan boleh dimanfaatkan oleh penjawat awam serta orang awam.


"Pendekatan ini pernah dilaksanakan di Sabah ketika saya bertugas di sana dan terbukti berkesan," katanya.


Beliau berkata, kebanyakan laporan yang diterima sebelum ini banyak melibatkan warga asing yang cuba menyogok pegawai penguat kuasa.


Katanya, siasatan sedang dijalankan dan kes akan dibawa ke mahkamah sekiranya bukti mencukupi.


"Sementara itu, kita menerima kurang daripada lima laporan berkaitan tawaran rasuah daripada penjawat awam di Pulau Pinang sepanjang tahun lalu," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan SPRM Pulau Pinang menerima sebanyak 37 maklumat risikan berkaitan MBPP sepanjang tahun lalu melibatkan pelbagai entiti dan isu penguatkuasaan.


"Daripada jumlah itu, lima tangkapan telah dibuat namun kes berkenaan masih dalam proses penelitian dan belum dibawa ke peringkat pendakwaan kerana sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara," ujarnya.


Karunanithy (dua dari kiri) ketika menghadiri Program Dialog Antirasuah Kerjasama Antara SPRM Pulau Pinang dan MBPP di George Town, Semalam. - Foto Kosmo Online.

Isnin, 19 Januari 2026

Pegawai kanan imigresen didakwa terima rasuah RM140,000 lepas kemasukan 56 warga Bangladesh

Pegawai kanan imigresen didakwa terima rasuah RM140,000 lepas kemasukan 56 warga Bangladesh


Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM140,000 antara 3 hingga 15 Mei 2025.


Mastura Aziz, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.


Wanita itu didakwa menerima suapan wang masing-masing RM12,500, RM47,500, RM52,500 dan RM27,500 daripada seorang lelaki warga asing di empat lokasi dan tarikh berasingan pada Mei 2025.


Wang itu didakwa sebagai upah tertuduh yang ketika itu selaku Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal Satu, melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh ke Malaysia tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan JIM.


Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat beli belah di Sepang; Pusat Penjaja Kota Warisan Bandar di Bandar Baru Salak Tinggi dan sebuah stesen minyak di Persiaran Warisan Maju masing-masing pada 3, 7, 11 dan 15 Mei 2025.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.


Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM50,000, selain wanita itu perlu dikenakan syarat tambahan.


Bagaimanapun peguam Datuk Geethan Ram Vincent memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan mengambil kira anak guamnya tidak pernah gagal untuk hadir, setiap kali dipanggil memberi keterangan dan sedia memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan mahkamah.


Mohd Nasir kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan wanita itu perlu melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali serta menetapkan 25 Feb untuk sebutan semula kes.

Rabu, 14 Januari 2026

SPRM fokus pulih aset negara, tumpu kes berprofil tinggi

SPRM fokus pulih aset negara, tumpu kes berprofil tinggi


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggariskan hala tuju strategik baharu bagi tempoh lima tahun akan datang dengan meletakkan keutamaan tertinggi terhadap pemulihan aset negara serta pembanterasan jenayah kewangan berskala besar.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pendekatan penguatkuasaan yang lebih agresif dan berimpak tinggi ini diambil memandangkan negara dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM277 bilion dalam tempoh enam tahun lalu akibat kecurian, ketirisan dana awam dan jenayah kewangan.


Menurutnya, fokus SPRM kini terarah kepada kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan kehilangan aset negara demi memastikan pembersihan menyeluruh terhadap amalan rasuah yang merugikan kerajaan.


"Isu kritikal rasuah tetap wujud walaupun ada harapan ia berkurangan. Justeru, SPRM perlu terus menggembleng tenaga dan sumber bagi memastikan usaha memulihkan aset serta membawa pelaku ke muka pengadilan dapat dilaksanakan secara berkesan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu segmen Sembang Tamu MACCfm bertajuk 'SPRM 2026: Ke Mana Halatuju?' di Ibu Pejabat SPRM, di Kuala Lumpur hari ini.


Mengulas mengenai cabaran tugas, Azam memuji dedikasi warga SPRM yang kekal komited menjalankan siasatan walaupun berdepan tekanan hebat serta serangan persepsi di media sosial.


Katanya, walaupun persepsi negatif di dunia maya tidak boleh dihalang sepenuhnya, ia perlu diuruskan dengan pantas dan strategik.


Sehubungan itu, Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM telah diarahkan untuk sentiasa peka memantau sentimen dan komen di platform media sosial bagi memastikan tindak balas berkesan dapat diambil.


Menyentuh mengenai permulaan tahun 2026 yang menyaksikan pendedahan kes besar hasil maklumat awam, Azam menegaskan bahawa SPRM sebenarnya bertindak lebih awal dan mendahului dalam menjalankan siasatan kes berkenaan sebelum ia tular.


Selain aspek penguatkuasaan, Azam turut menekankan kepentingan sektor pencegahan dalam mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, bagi menangkis maklumat tidak tepat yang boleh mempengaruhi persepsi awam.


Dalam usaha memperkukuh penyampaian maklumat, beliau turut menyuarakan hasrat untuk merangka satu pelan strategik bersama Media Prima Berhad pada tahun ini.


"Langkah ini bertujuan memastikan laporan berkaitan kes SPRM lebih tersusun, berfakta dan mempunyai kesinambungan yang jelas.


"Seluruh warga SPRM juga diingatkan agar terus mengekalkan tahap disiplin dan integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas demi menjayakan perjuangan membanteras rasuah di negara ini," katanya.

Sabtu, 10 Januari 2026

Kerajaan akan terus ambil tindakan terhadap "ikan besar" - PM Anwar

Kerajaan akan terus ambil tindakan terhadap "ikan besar" - PM Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan akan terus mengambil tindakan terhadap 'ikan besar', termasuk bekas Perdana Menteri dan bekas menteri dalam usaha membanteras rasuah.


Perdana Menteri, berkata rasuah bukan saja berleluasa namun bersifat sistemik dan memerlukan usaha yang sangat besar.


"Walaupun ada kejayaan, kita masih berdepan isu besar. Anda juga sedar bahawa dalam kalangan pemimpin politik, termasuk pembangkang, sokongan tidak begitu kuat.


"Setiap kali kerajaan menyentuh pemimpin besar atau tokoh korporat utama, akan ada suara yang mempertikaikan tindakan berkenaan," ketika sidang media selepas menghadiri majlis pembukaan rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Zoo Negara, hari ini.


Anwar berkata, beliau juga akan terus memantau Kabinet serta jentera kerajaan dengan sangat rapi.


Sementara itu, ditanya mengenai keperluan melakukan reformasi besar-besaran dalam pasukan pertahanan negara susulan siasatan kes rasuah dalam pasukan itu, Anwar berkata jika dibandingkan beberapa tahun lalu, tahap penguatkuasaan sekarang adalah berkesan dan agak membanggakan.


"Saya tidak mengatakan bahawa saya berpuas hati sepenuhnya. Tetapi saya memuji agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Imigresen dan lain-lain," katanya.

Khamis, 8 Januari 2026

Albert Tei saman SPRM, dakwa dipaksa pakai baju lokap ketika dalam siasatan

Albert Tei saman SPRM, dakwa dipaksa pakai baju lokap ketika dalam siasatan


Ahli perniagaan, Albert Tei memfailkan saman sivil terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki serta kerajaan, susulan dakwaan beliau dipaksa memakai baju lokap berwarna jingga ketika masih dalam siasatan.


Tei memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. Peguamnya, N Surendran, mempersoalkan asas undang-undang yang mewajibkan seseorang yang sekadar disiasat dipakaikan pakaian lokap.


Beliau berkata, gambar Tei yang kemudiannya tersebar luas telah menimbulkan persepsi bahawa anak guamnya sudah bersalah, walaupun belum dibicarakan di mahkamah.


Menurut Surendran, Tei memohon deklarasi mahkamah bahawa tindakan berkenaan adalah tidak berperlembagaan, selain menuntut ganti rugi yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.


"Walaupun ketika saya menjadi Ahli Parlimen lapan atau sembilan tahun lalu, saya sudah membangkitkan isu ini - seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.


"Di bawah undang-undang mana menyatakan bahawa sesiapa yang ditangkap dan masih disiasat, termasuk orang awam, mesti dipaksa memakai baju lokap berwarna jingga?


"Gambar mereka dirakam dan disebarkan di internet, media dan televisyen. Apa akan berlaku jika akhirnya mahkamah membebaskan mereka?


"Adakah maruah yang tercalar itu boleh dipulihkan semula?" katanya sambil menegaskan tiada undang-undang di Malaysia yang membenarkan amalan sedemikian.


Kenyataan itu dibuat selepas prosiding sebutan kes rasuah membabitkan Tei, yang turut dikaitkan dengan bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.


Tei berkata, saman berkenaan bukan satu-satunya tindakan undang-undang yang akan diambilnya, selain mendakwa beliau dipaksa memakai kemeja-T jingga tertera perkataan "lock-up", digari dan dibawa ke beberapa lokasi.


"Dengan pakaian sama, saya dibawa ke beberapa tempat dan dilihat oleh ramai orang. Apakah niat SPRM? Tindakan ini jelas bertujuan menimbulkan prejudis terhadap saya di mata masyarakat," katanya.


Beliau turut mendakwa SPRM bertindak secara sengaja untuk memberi tekanan mental dan melemahkan semangatnya.


"Saya ingin menegaskan dan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Azam bahawa mereka telah memandang rendah kesungguhan, ketegasan dan keazaman saya dalam perjuangan ini.


"Saya tidak akan berputus asa," katanya sambil mendakwa dirinya adalah mangsa dan pemberi maklumat dalam beberapa skandal membabitkan tokoh berpengaruh.


Tei turut mempersoalkan mengapa individu berprofil tinggi seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya dan beberapa yang lain tidak dikenakan pakaian sama, sekali gus mendakwa wujud layanan tidak sama rata dalam penguatkuasaan.


Beliau mendakwa SPRM seolah-olah telah menjatuhkan hukuman sebelum keputusan mahkamah dan mencabar agensi itu menjelaskan asas undang-undang amalan berkenaan, termasuk mendedahkan statistik individu yang ditahan, dipakaikan baju lokap jingga dan kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah.


Sebagai simbol perjuangannya, Tei membeli sendiri baju sama secara dalam talian dan mewujudkan platform media sosial yang memaparkan gambarnya mengenakan pakaian berkenaan, yang dinamakan Albert Tei Reformati.

AGC putuskan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan Zahid

AGC putuskan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan Zahid


Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Jabatan itu dalam satu kenyataan, hari ini, berkata keputusan berkenaan sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes terbabit.


Menurutnya, ia selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.


AGC menegaskan keputusan terbabit diambil berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan sistem keadilan jenayah.


Kenyataan itu memaklumkan terdahulu AGC merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang telah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkenaan.


"Berikutan keputusan DNAA itu, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.


"Ia termasuk perkara-perkara dibangkitkan melalui enam representasi dikemukakan kepada jabatan ini selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.


"Selepas meneliti keseluruhan bahan serta keterangan baharu diperoleh hasil siasatan lanjut dan penelitian terbabit, AGC berdasarkan penilaian serta pertimbangan pendakwaan, mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi semua pertuduhan berkenaan," katanya.


Menurut AGC, penelitian itu dilakukan dengan turut mempertimbangkan empat perkara, termasuk skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan difailkan.


"Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan," katanya.


AGC berkata, pertimbangan itu turut mengambil kira langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudian dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks serta keterangan baharu kes.


"Selain itu, dapatan hasil siasatan lanjut terbabit yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa," katanya.


Disember lalu, AGC dilapor menegaskan keputusan memohon DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, dibuat selaras peruntukan undang-undang.


Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.


Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan berkenaan selepas pendakwaan memaklumkan bahawa AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.


Mahkamah Tinggi turut dilapor memaklumkan bahawa siasatan yang masih berjalan dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, menjadi asas keputusannya ketika itu untuk menolak permohonan Ahmad Zahid supaya dibebaskan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan berkenaan.


Pada Jun 2024, media melaporkan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes dihadapi Ahmad Zahid membabitkan dana Yayasan Akalbudi.


Melalui permohonan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara serta Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon agar Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.


Rabu, 7 Januari 2026

SPRM gagalkan usaha larikan wang tunai RM2.4 juta berkaitan siasatan perolehan Tentera Darat

SPRM gagalkan usaha larikan wang tunai RM2.4 juta berkaitan siasatan perolehan Tentera Darat


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menggagalkan cubaan melarikan wang tunai berjumlah RM2.4 juta dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia (TDM).


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata wang berkenaan cuba dipindahkan dari sebuah rumah ke rumah lain oleh seorang individu awam yang mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.


"Semalam, pegawai kita dapat maklumat dan pagi tadi saya dimaklumkan bahawa kita menjumpai lebih kurang RM2.4 juta wang yang cuba dilarikan oleh individu itu... kita telah mendapat wang milik seorang suspek kes ini dalam bentuk tunai," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau turut memaklumkan bahawa seorang bekas pegawai kanan tertinggi Tentera Darat dan isterinya hadir bagi membantu siasatan tentang perolehan TDM petang ini di Putrajaya.


"Keterangan pegawai kanan berkenaan diambil petang ini di Putrajaya selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital semalam setelah menerima rawatan akibat tekanan darah tinggi," katanya.


Semalam, SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan TDM.


Kenyataan SPRM di media sosial TikTok memaklumkan perintah reman selama lima hari hingga 10 Jan ini dikeluarkan semalam oleh Majistret Ezrene Zakariah yang membenarkan permohonan agensi antirasuah berkenaan.


Kesemua suspek yang terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 60-an telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada Isnin.


Pada 29 Dis lepas, SPRM menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan berkenaan dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek TDM.


Sebelum itu, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Dis dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sabtu, 27 Disember 2025

Kes 1MDB: Najib bebas tahun 2043 andai semua rayuan gagal

Kes 1MDB: Najib bebas tahun 2043 andai semua rayuan gagal


Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan hanya akan dibebaskan daripada penjara pada tahun 2043 sekiranya gagal dalam semua peringkat rayuan termasuk di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.


Berdasarkan pengiraan semasa, bekas Perdana Menteri yang dilahirkan pada 23 Julai 1953 akan berusia kira-kira 90 tahun pada tahun berkenaan sekiranya perlu menjalani keseluruhan tempoh pemenjaraan yang dikenakan terhadapnya.


Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.


Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, namun pelaksanaannya hanya bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International Sdn Bhd.


Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang kemudiannya dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan.


Bagi kes tersebut, Najib dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.


Sekiranya sabitan dalam kes 1MDB dikekalkan di semua peringkat dan tiada pengurangan hukuman diberikan, tempoh pemenjaraan yang perlu dilalui bekas Presiden UMNO itu boleh mencecah lebih dua dekad, sekali gus membawa kepada jangkaan pembebasan sekitar tahun 2043.


Dalam kes 1MDB, Najib didapati bersalah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion, serta melakukan pengubahan wang haram antara tahun 2011 hingga 2014 melalui akaun di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon.


Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Jumaat, 12 Disember 2025

Anggota JPJ dijel 2 tahun, denda RM208,000 ambil suapan bulanan

Anggota JPJ dijel 2 tahun, denda RM208,000 ambil suapan bulanan


Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM208,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini selepas didapati bersalah terhadap 16 pertuduhan menerima suapan daripada pengusaha lori, sembilan tahun lalu.


Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Ahmad Jamil Md. Saru, 43, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan.


Tertuduh disabitkan bersalah atas enam pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan 10 pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.


Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, tertuduh sebagai pembantu penguat kuasa JPJ Cawangan Muar didapati menerima suapan berjumlah RM31,100 daripada pengurus syarikat pengangkutan secara pindahan dalam talian di dua cawangan bank.


Wang tersebut diterimanya sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori milik syarikat berkenaan, sekali gus telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sementara itu bagi pertuduhan satu hingga 10 di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, tertuduh didapati menerima wang keseluruhan berjumlah RM5,000 tanpa balasan daripada pengurus syarikat sama dengan mengetahui premis terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.


Semua kesalahan itu dilakukan di Maybank Malaysia Berhad Cawangan Merlimau, Jasin, antara 28 April 2020 hingga 3 Mac 2021.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat, memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh dengan mengambil kira kesalahan rasuah adalah kesalahan yang serius dan membabitkan kepentingan awam.


"Sebagai pembantu penguat kuasa JPJ yang berurusan dengan orang awam tertuduh gagal memberikan contoh baik apabila menyalah guna kuasa dan jawatan.


"Ia secara tidak langsung mencemarkan imej JPJ, justeru hukuman tegas perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama," katanya.


Peguam Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias merayu hukuman diringankan dan ia merupakan kesalahan pertama anak guamnya, selain tertuduh perlu menanggung isteri dan dua anak berusia 19 dan 13 tahun.


"Tertuduh sekeluarga juga masih bersedih atas kematian anak sulung bulan lalu akibat kanser, selain turut berdepan masalah kewangan akibat menanggung kos rawatan sebelum ini. Dia juga masih ditahan kerja dan mempunyai komitmen rumah serta kereta," katanya.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 dan denda keseluruhan berjumlah RM158,000 atau penjara antara tiga hingga lapan bulan penjara, jika gagal bayar.


Elesabet bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh pensabitan hari ini.


Beliau kemudian menetapkan denda berjumlah keseluruhan RM50,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar bagi pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.


Mohd. Azlan bagaimanapun merayu penangguhan pelaksanaan hukuman dan ia dibenarkan dengan syarat Notis Rayuan perlu difailkan pada hari ini dan jaminan dinaikkan daripada RM10,500 kepada RM15,000. Tertuduh kemudian membayar jaminan terbabit.


Tertuduh diiringi pegawai SPRM selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan daripada seorang pengurus syarikat pengangkutan. - Foto Kosmo Online.

Rabu, 10 Disember 2025

Bekas pengurus terima rasuah RM634 juta dijatuhi hukuman mati

Bekas pengurus terima rasuah RM634 juta dijatuhi hukuman mati


China melaksanakan hukuman mati terhadap seorang bekas eksekutif sebuah firma pengurusan aset milik negara berhubung kes rasuah pagi semalam, lapor media negara itu.


Menurut stesen televisyen CCTV, Bai Tianhui yang merupakan bekas pengurus besar China Huarong International Holdings (CHIH) didapati bersalah menerima suapan lebih AS$156 juta (RM643 juta). Dia turut menawarkan layanan istimewa dalam pemerolehan dan pembiayaan projek antara tahun 2014 hingga 2018.


CHIH adalah anak syarikat China Huarong Asset Management yang memberi tumpuan kepada pengurusan hutang lapuk sebagai salah satu dana pengurusan aset terbesar negara itu.


Tianhui menjalani hukuman mati di Tianjin selepas bertemu dengan ahli keluarga terdekat, lapor CCTV.


Namun, stesen televisyen tersebut tidak menyatakan kaedah hukuman mati yang digunakan.


Hukuman terhadapnya mula dijatuhkan pada Mei 2024 oleh sebuah mahkamah di bandar utara Tianjin. Dia kemudian merayu terhadap sabitannya tetapi keputusan asal dikekalkan pada Februari lalu.


Mahkamah tertinggi China, Mahkamah Agung Rakyat mengesahkan keputusan tersebut selepas semakan dengan menyatakan bahawa jenayah yang dilakukan Tianhui adalah sangat serius, lapor CCTV.


"(Tianhui) menerima rasuah dalam jumlah luar biasa besarnya, keadaan jenayahnya amat serius, kesannya kepada masyarakat amat buruk dan kepentingan negara serta rakyat mengalami kerugian yang sangat besar," kata CCTV ketika memetik kenyataan mahkamah.


Gambar fail Bai Tianhui (duduk tengah). - Foto AFP.

Selasa, 9 Disember 2025

Saya tak tahu sebab tu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar - Muhammad Sanusi

Saya tak tahu sebab tu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar - Muhammad Sanusi


Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyatakan beliau tidak tahu menahu tentang dakwaan kejadian rasuah projek penternakan lembu milik kerajaan negeri yang didakwa membabitkan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin.


Kata Muhammad Sanusi, ia kerana semasa kejadian tersebut berlaku, beliau belum lagi dilantik sebagai Menteri Besar (MB) Kedah.


"Saya tak tahu kerana kejadian itu zaman sebelum saya jadi MB, sebelum saya masuk sini iaitu sebelum tahun 2020.


"Saya tak tahu apa, saya baru tengok surat khabar tetapi yang beri orang lain, yang ambil orang lain yang kena orang lain. Itu pelik juga no..," katanya selepas Peluncuran Kedah Digital Blueprint 2025-2050 di Alor Setar hari ini.


Menurutnya, Azman turut mengadakan sidang akhbar semalam selepas dituduh di mahkamah dengan mendakwa pendakwaan tersebut bermotifkan politik.


"Semua orang tahu, siapa yang ikuti benda itu nampak dengan jelas. Kita pun tak mahu cakap apalah pasal (sudah jadi) kes mahkamah dah kan," ujarnya.


Ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan terhadap Azman, beliau menjawab tiada kerana Ahli Parlimen tersebut belum disabitkan bersalah oleh mahkamah.


Berhubung status projek penternakan tersebut, beliau memaklumkan bahawa Kedah Agro telah ditutup.


"Saya tiada maklumat, Kedah Agro pun tutup dah dan bila tutup, maknanya dah tiada aktivitilah. Ini kes lama sebelum 2020, masa itu MB orang lain, Exco-exco pun orang lain dan beliau (Azman) pun salah seorang Exco waktu itu," ujarnya.


Media semalam melaporkan Azman, 53, dan ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan bersubahat dan rasuah projek usaha sama penternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah.


Amar Assuat didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan tunai RM400,000 daripada seorang lelaki bagi membantu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sg. Laka, Kubang Pasu.


Ia sebagai dorongan bagi membantu individu tersebut mendapatkan projek itu daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).


Azman pula didakwa bersubahat dengan Amar Assuat bagi menerima suapan tunai RM400,000 bagi dirinya daripada lelaki sama sebagai upah membantu individu berkenaan mendapatkan projek tersebut.


Untuk rekod, Azman ketika bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani Kedah sebelum keluar parti pada Mei 2020 dan meneruskan portfolio itu selepas Muhammad Sanusi dilantik sebagai MB Kedah.

Isnin, 8 Disember 2025

'Ada pihak mengagung-agungkan pemberi rasuah, ia menggusarkan kita' - PM

'Ada pihak mengagung-agungkan pemberi rasuah, ia menggusarkan kita' - PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud trend masa kini yang mengagung-agungkan pemberi rasuah dan keadaan itu sangat menggusarkan dalam usaha kerajaan mahu membanteras rasuah.


"Ada pihak yang terlalu mendewa-dewakan dan mengagung-agungkan sesetengah susuk hingga menghakis nilai kemanusiaan.


"Mereka mengagung-agungkan pemberi suapan dan keadaan itu menggusarkan. Kita kata benci rasuah, tetapi apabila tindakan diambil dan kalau kena pada kawan, kita akan marah.


"Disebabkan (trend) ini kita tidak akan mampu mengangkat negeri dan negara kita," katanya berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) sempena Himpunan Bulanan kementerian berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.


Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.


Sementara itu, Perdana Menteri berkata, nilai kemanusiaan, ihsan dan saling menghormati sesama makhluk sangat penting untuk ditekankan semua pihak demi kelangsungan negara.


"Kasih pertamanya kepada manusia, seterusnya haiwan, pohon, bukit-bukau dan bumi yang kita pijak. Jika ini dimaknai dan diamalkan, nescaya yang di langit akan mencurahkan rahmat serta kasih sayang-Nya kepada kita.


"Bayangkan, setiap hari kita kerja, setiap design (rekaan) dilakar dan kaedah baharu diperkenalkan, setiap usaha ini mempercepat untuk menyiapkan (projek). Yang di langit akan curahkan rahmat kepada kita.


"Bayangkan, kita buat jambatan dengan niat ikhlas dan bersih tanpa mengira komisen, rasuah serta penyelewengan. Ia dilaksanakan secara terbaik dengan kos yang ada, untuk faedah manusia, dengan harapan dan niat kasih sayang pada manusia.


"Ini bukan saya kata, ini hadis Nabi Muhammad SAW," katanya.


Anwar bersama Nanta Linggi (kiri) dan Ahmad (kanan) hadir majlis perjumpaan bersama warga KKR sempena perhimpunan bulanan kementerian itu di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini. - Foto Bernama.