Khamis, 24 September 2026

Cabul remaja perempuan, lelaki 85 tahun didenda RM4,000


Warga emas didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown, atas pertuduhan mencabul kehormatan remaja perempuan berusia 16 tahun di Air Itam, pada 17 September lalu.


Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhi hukuman denda itu selepas tertuduh Yong Lip Fook, 85, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Mandarin.


Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan bulan jika gagal bayar denda.


Mengikut pertuduhan, Lip Fook didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun dengan niat mencabul kehormatannya.


Kesalahan didakwa dilakukan di dalam lif sebuah flat di Tingkat Paya Terubong, Air Itam jam 4 petang pada 17 September lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga sepuluh tahun atau denda atau sebatan, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika disabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh diwakili Peguam Sharmila Shanthini Mogan.


Terdahulu, Ahmad Danial meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh manakala Sharmila pula memohon hukuman terhadap tertuduh diringankan berikutan lelaki itu pesakit jantung, kencing manis dan darah tinggi selain selain tidak bekerja dan di bawah tanggungan anaknya.


Tertuduh juga memberi kerjasama dengan hadir ke mahkamah serta berjanji tidak melakukan kesalahan itu lagi. Denda dibayar oleh anaknya selepas Majistret menetapkan denda.


EmoticonEmoticon