Isnin, 5 Oktober 2026

Ibu dan nenek sedang tidur di ruang tamu, pasangan kekasih berkhalwat dalam bilik


Pasangan kekasih ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat dalam rumah di Plentong, Johor Bahru, awal pagi tadi, ketika ibu dan nenek wanita berkenaan sedang tidur.


JAINJ dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan kira-kira jam 3.15 pagi itu dilakukan sepasukan penguat kuasa selepas menerima aduan awam berhubung kegiatan pasangan berkenaan.


"Pemeriksaan di rumah kampung berkembar mendapati pintu utama rumah tidak berkunci, manakala pintu gril juga didapati tidak berkunci sebelum penguat kuasa memasuki rumah untuk menjalankan pemeriksaan," katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan di ruang tamu rumah itu kemudiannya menemukan dua wanita berusia 50-an dan 70-an yang juga ibu dan nenek wanita itu sedang tidur.


Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah bilik yang tertutup dan berkunci kemudiannya mendapat terdapat wanita dan lelaki dalam bilik berkenaan.


"Pasangan terbabit mengaku bukan suami isteri, sebaliknya mendakwa hanya berkawan dan lelaki berkenaan kerap datang ke rumah berkenaan untuk makan serta minum," katanya.


Beliau berkata, lelaki berusia 29 tahun dan berstatus bujang itu berasal dari negeri lain serta bekerja di Singapura manakala wanita berusia 24 tahun berasal dari daerah ini, tidak bekerja dan menjaga neneknya yang uzur.


"Siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan mengaku kerap datang ke rumah itu sejak berpindah ke bandar raya ini termasuk tiga hingga empat kali seminggu sehingga lewat malam atau awal pagi.


"Lelaki terbabit turut mengaku membiayai perbelanjaan rumah berkenaan termasuk bayaran sewa, selain membantu menanggung wanita yang tidak bekerja," katanya.


Menurut kenyataan itu, lelaki itu mendakwa mereka merancang untuk berkahwin pada hujung tahun ini, namun pemeriksaan mendapati tiada permohonan pernikahan dibuat di pejabat kadi setakat ini.


Pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon