Selasa, 6 Oktober 2026

Tipu syarikat lebih RM6.2 juta, bekas pegawai pemasaran dipenjara 5 tahun


Bekas pegawai pemasaran dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan maksimum 24 sebatan oleh Mahkamah Majistret Tawau, pada Isnin selepas didapati bersalah atas 26 pertuduhan menipu syarikat tempatnya bekerja membabitkan kerugian lebih RM6.2 juta, tiga tahun lalu.


Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Mok Chuang Leon, 38, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadapnya melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Bagi setiap 26 pertuduhan, tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan, dengan semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.


Bagaimanapun, mahkamah menetapkan maksimum 24 sebatan sahaja boleh dilaksanakan selaras dengan Seksyen 288(5) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).


Mok didakwa dengan curangnya menipu dan memperdaya kerani syarikat tempatnya bekerja supaya menyerahkan wang berjumlah RM6,212,266.84 dengan mengemukakan penyata bulanan jualan buah kelapa sawit yang tidak benar oleh dua syarikat miliknya iaitu Ampel Agent dan Sawit Borneo Sdn Bhd.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Perdana Square Commercial Centre, Batu 3½, Jalan Apas, Tawau antara Februari 2023 hingga Februari 2024.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Perbicaraan kes itu bermula pada 24 April 2025 dengan pihak pendakwaan memanggil 24 saksi untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan hanya memanggil tertuduh sebagai saksi tunggal.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye.


Dalam rayuan mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan, peguam memaklumkan kira-kira RM1.2 juta daripada jumlah terbabit sudah dikembalikan yang menurut pembelaan adalah faktor mitigasi penting dalam menilai kesan kewangan kesalahan serta usaha tertuduh membuat bayaran balik.


Pembelaan turut memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan mengambil kira keadaan peribadi tertuduh yang juga bapa tunggal dan menyara seorang anak lelaki berusia 10 tahun.


Pembelaan turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan sabitan difailkan di Mahkamah Tinggi.


Mahkamah kemudian membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman, dengan syarat notis rayuan difailkan semalam.


Bagaimanapun, jumlah jaminan dan syarat jaminan sedia ada dikekalkan sehingga rayuan berkenaan diputuskan.


EmoticonEmoticon