Selasa, 17 November 2026

Pasangan suami isteri didakwa bunuh bapa berusia 63 tahun


SEREMBAN - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki berusia 63 tahun yang juga bapa kepada salah seorang daripada mereka, awal bulan ini.


Tertuduh, B Balamurali, 32, dan isterinya, S Sangitha, 34, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersama-sama membunuh K Balakrishnan, 63, di sebuah rumah pangsa di Rasah Jaya, kira-kira jam 11 malam pada 3 November lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, mereka mesti dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.


Timbalan Pendakwa Raya, M Pusppa tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan membunuh tidak boleh dijamin. Mahkamah turut tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula bagi mendapatkan laporan bedah siasat.


Sebelum ini, polis dilaporkan membuka siasatan selepas menerima maklumat mengenai video tular di TikTok yang memaparkan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an dipercayai didera beberapa individu.


Seorang wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang melihat video berkenaan kemudian pergi ke lokasi dan mendapati upacara pengebumian sedang berlangsung.


Bagaimanapun, keadaan pengebumian yang dilakukan secara tergesa-gesa menimbulkan keraguan sebelum ia dihentikan dengan bantuan polis. Pemeriksaan kemudian mendapati mayat lelaki berkenaan dipercayai individu sama yang dipaparkan dalam video tular itu.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon