Jumaat, 21 Ogos 2026

Lelaki Singapura tular provokasi anggota trafik, miliki pisau didakwa di mahkamah


Seorang pemilik restoran warga Singapura mengaku tidak bersalah di dua mahkamah di Johor Bahru, semalam atas tiga pertuduhan termasuk menghalang tugas polis dan memiliki pisau.


Tertuduh, Gary Lim Kian Liang, 46, membuat pengakuan itu masing-masing di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar dan Majistret Nurzihan Abdul Rehman selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.


Di hadapan Nor Aziati, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau berukuran 8.5 sentimeter tanpa kebenaran sah di Jalan Lingkaran Dalam menghala Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru pada pukul 12.15 pagi, Ahad lalu.


Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun.


Di hadapan Nurzihan pula, dia didakwa dengan sengaja menghalang Lans Koperal Mohd. Rahimi Mohd. Ali melaksanakan tugasnya pada waktu, lokasi dan tarikh yang sama.


Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas wanita tempatan berusia 30 tahun menggunakan pisau di lokasi sama, kira-kira pukul 11.58 malam, 15 Ogos lalu.


Bagi kesalahan itu, warga asing tersebut didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.


Peguam S. Selvanteran dalam rayuannya berkata, tertuduh menanggung isteri dan ibu yang uzur selain tiada pendapatan tetap.


"Tertuduh juga mempunyai masalah kesihatan mental iaitu 'major depression' dan memerlukan rawatan kesihatan secara berterusan," katanya.


Hakim dan majistret kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dan 25 September ini untuk sebutan semula kes.


Sementara itu, lelaki tempatan, G. Thinesh Kumar, 28, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A. Shaarmini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap warga Singapura tersebut menggunakan topi keledar di lokasi pada masa yang sama.


Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000. Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 September ini.


EmoticonEmoticon