Jumaat, 21 Ogos 2026

Dua pelajar mengaku hina remaja perempuan OKU dengan komen jelik di TikTok


Dua pelajar lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, semalam atas pertuduhan menghantar komen jelik berunsur penghinaan terhadap seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) di aplikasi TikTok.


Kedua-dua pelajar itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.


Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar terbabit didakwa menggunakan perkataan menghina melalui komen jelik terhadap mangsa berusia 17 tahun di aplikasi TikTok.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Parit Lapis Sri Ladang, Rengit, pada jam 8.30 malam, 25 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan.


Hukumannya adalah penjara bagi tempoh sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1,000 setiap seorang dengan kes disebut semula pada 14 Oktober ini untuk laporan akhlak, fakta dan perintah.


Berdasarkan laporan, mangsa melihat komen jelik dihantar oleh kedua-dua tertuduh dalam aplikasi TikTok miliknya.


Komen itu dihantar menggunakan akaun TikTok milik tertuduh pada video yang dimuat naik oleh mangsa.


Kedua-dua tertuduh mengaku menghantar komen itu bagi tujuan membuli atas talian atau sengaja mencela mangsa hingga mendatangkan gangguan emosi selepas mengetahui kecacatan remaja itu pada ibu jari tangan kiri.


Malah, siasatan mendapati perbuatan itu adalah kesinambungan daripada tindakan mereka yang sering mengejek mangsa di sekolah.


EmoticonEmoticon