Sabtu, 3 Oktober 2026

Niat beri kejutan hari lahir isteri, suami temui lelaki lain dalam rumah sewa isterinya


Niat seorang lelaki berusia 25 tahun yang hanya dikenali sebagai EE, memberikan kejutan hari lahir kepada isterinya bertukar tragedi apabila dia menemui seorang lelaki lain berada di rumah sewa isterinya di Kecamatan Tayu, Kabupaten Pati, Jawa Tengah.


Kejadian pada awal pagi 27 September lalu itu menyebabkan lelaki berusia 25 tahun dikenali AK maut selepas ditikam EE yang dipercayai berang selepas mendapati mangsa berada bersama isterinya, VD.


Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pati, Kompol Dika Hadiyan Widya Wiratama, EE datang dari Demak ke Tayu kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan dengan menunggang motosikal untuk menjemput isterinya pulang ke rumah.


EE sengaja tidak memaklumkan kedatangannya kerana mahu memberikan kejutan sempena hari lahir isterinya.


Namun, setibanya di rumah sewa itu, pintu bilik tidak terus dibuka. Selepas kira-kira empat minit, VD membuka pintu sebelum mengajak suaminya keluar membeli makanan.


EE bagaimanapun masuk ke bilik mandi untuk membuang air kecil sebelum mendapati pintu bilik berkenaan tidak dapat dibuka sepenuhnya kerana dihalang sesuatu. Apabila pintu berjaya dibuka, dia menemui AK bersembunyi di sebaliknya.


Menurut polis, EE bertanyakan identiti lelaki terbabit dan sebab dia berada di rumah sewa isterinya. AK dikatakan hanya mendakwa dirinya sebagai rakan sebelum berdiam diri.


Polis berkata, mangsa dan isteri suspek dipercayai mempunyai hubungan rapat.


Pertengkaran kemudian tercetus sebelum EE mengambil sebilah pisau lipat yang berada di rumah sewa berkenaan dan menikam paha kiri AK sekali.


Isteri EE dilaporkan cuba menenangkan keadaan dan meminta suaminya tidak mencederakan mangsa.


Selepas kejadian, EE meminta bantuan pemilik rumah sewa. Namun, lelaki berkenaan dilaporkan tidak berani membantu, menyebabkan EE dan isterinya membawa AK ke hospital dengan motosikal.


Mangsa mengalami pendarahan teruk dan disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan. Polis kemudian menahan EE dan menetapkannya sebagai suspek dalam kes berkenaan.


Menurut laporan media Indonesia, EE didakwa mengikut Perkara 466(3) Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan penganiayaan yang menyebabkan kematian, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.


Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas seorang lelaki ditemukan maut akibat ditikam di sebuah rumah sewa di Pati. - Foto iNews TV/VINDI AGIL
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon