Wanita warga emas ditemui meninggal dunia di belakang rumahnya di Kampung Pengkalan Baru, Bachok, petang tadi.
Hindun Hamzah, 58, berkata, mayat ibunya, Che Bidah Sulung, 85, ditemui kakak sulung, Hilmiah, 60-an ketika mahu menghantar makanan ke rumah warga emas terbabit.
Katanya, dia mengetahui kejadian itu pada 3 petang selepas dimaklumkan Hilmiah.
"Emak tinggal seorang diri di rumah itu. Menjadi rutin anak-anak dan anak saudara menghantar makanan ke rumahnya setiap hari.
"Namun tadi kakak telefon saya maklumkan mahu menghantar nasi ke rumah emak, tetapi emak tiada di rumah.
"Kakak mencari emak di sekitar rumah sebelum menemuinya sudah tidak bernyawa di kawasan semak di belakang rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Hindun berkata, ibu mereka seorang yang aktif dan suka membersihkan kawasan sekitar rumah
Susulan itu, katanya, tidak menolak kemungkinan Allahyarham sedang membersihkan kawasan belakang kediaman sebelum ditemui tidak sedarkan diri.
Menurutnya lagi, pemergian ibunya amat mengejutkan mereka sekeluarga apatah lagi arwah tidak mempunyai sebarang penyakit serius.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bachok untuk tindakan lanjut dan siasatan akan dijalankan untuk mengetahui punca kematian.

EmoticonEmoticon