Pelakon dan model Indonesia, Samudera Hurley Taylor, didenda RM2,300 oleh Mahkamah Majistret Sepang, selepas mengaku bersalah mengambil dadah dalam kejadian pada Julai lalu.
Majistret, Khairatul Animah Jelani, menjatuhkan hukuman denda itu selepas ujian patologi mendapati sampel diambil positif dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid.
Dalam prosiding pada 9 September lalu, mahkamah turut memerintahkan Samudera, 24, menjalani hukuman penjara selama empat bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Pada Julai lalu, Samudera mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri.
Dia melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.40 petang, 28 Julai lalu, di tandas Pusat Pengurusan Lapangan Terbang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, peguamnya, Shah Wira Abdul Halim, berkata Samudera dikehendaki terus kekal di Malaysia sementara menunggu laporan patologi selepas pertama kali didakwa.
Katanya, Samudera membayar denda berkenaan 9 September dan sudah kembali ke Indonesia selepas prosiding selesai.
"Dia mahu segera pulang (ke Indonesia) untuk bertemu ibunya yang sedang menjalani rawatan kanser. Selepas beberapa isu imigresen diselesaikan, dia dibenarkan pulang," katanya.
Samudera sebelum ini didenda RM500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan terbabit pertengkaran dengan kakitangan syarikat penerbangan dan pegawai polis bantuan di KLIA.
Dia didenda RM400 kerana gagal mematuhi arahan sah yang diberikan pegawai polis bantuan dan RM100 kerana menyebabkan gangguan awam.
Kesalahan pertama membabitkan kegagalan mematuhi arahan supaya bertenang, tidak menimbulkan kekacauan dan terus menaiki penerbangan.
Kesalahan kedua pula membabitkan perbuatan menjerit serta menggunakan bahasa kesat dan berunsur provokasi terhadap kakitangan syarikat penerbangan dan pegawai polis bantuan, selain mengganggu petugas kaunter tiket.
Kesalahan itu dilakukan antara jam 7.20 malam hingga 8.12 malam, 27 Julai lalu, di Pintu 4, KLIA Terminal 1.

EmoticonEmoticon