Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita warga Filipina dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini atas tuduhan memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan gantian kad pengenalan hilang.
Hukuman penjara ke atas tertuduh, Lorna Adilun, 45, bermula dari tarikh ditangkap pada 18 Ogos lalu.
Pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang, Fahkrol Anuar Sani di hadapan Majistret Ellyana Othman.
Berdasarkan fakta kes dikemukakan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai datang berurusan di kaunter JPN Cawangan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Pahang di Kuantan bagi permohonan gantian kad pengenalan hilang atas nama wanita lain yang didakwa sebagai miliknya.
Selepas selesai urusan, tertuduh dikeluarkan resit bayaran bernombor dan Dokumen Pengenalan Sementara (KPPK11).
Bagaimanapun, hasil semakan Unit Validasi, Bahagian Kad Pengenalan, JPN mendapati imej Sistem Pengenalan Cap Jari Automatik (AFIS) dan Cap Ibu Jari (CIJ) berbeza.
Wanita dari Suluk, Filipina yang disyaki menyamar menggunakan identiti pemilik kad pengenalan itu telah ditahan semasa hadir ke JPN UTC Pahang untuk menuntut kad pengenalan baharu, 18 Ogos lalu.
Hasil semakan lanjut melalui sistem pengesahan cap jari dengan nombor kad pengenalan berkenaan mendapati keputusan cap jari tidak sepadan.
Semakan melalui pertanyaan ke atas tertuduh mendapati dia tidak memiliki kad pengenalan sepanjang berada di negara ini sebaliknya menggunakan kad pengenalan orang lain yang didakwa dibeli sebelum dokumen tersebut hilang.
Siasatan lanjut mendapati, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bernama Lorna Adilun berasal dari Suluk, Filipina.
Tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memberikan maklumat palsu dalam butir material semasa membuat permohonan gantian kad pengenalan hilang.
Bagi kesalahan itu, individu terlibat boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

EmoticonEmoticon