Sabtu, 25 Julai 2026

Didakwa ganggu teman wanita, remaja dipukul tiga pelajar di Ampang


Seorang remaja lelaki dipercayai dipukul tiga pelajar di kawasan tangga Flat Sri Nilam, Ampang semalam, selepas didakwa mengganggu teman wanita salah seorang daripada suspek.


Difahamkan, ketiga-tiga pelajar lelaki yang dipercayai dari sekolah yang sama sudah ditahan polis, petang tadi.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya terkesan video tular memaparkan kejadian itu di Facebook, hari ini.


Katanya, mangsa ketika itu berada di sebuah sekolah menengah di Ampang, dibawa ke bawah tangga sebuah blok di flat berkenaan oleh seorang pelajar lelaki pada 12.31 tengah hari, semalam.


"Apabila sampai di lokasi, mangsa dipukul tiga pelajar lelaki. Suspek menampar muka dan menendang badan mangsa.


"Motif kejadian itu dipercayai kerana remaja terbabit dikatakan mengganggu teman wanita salah seorang suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, kejadian itu dirakam oleh seorang pelajar lelaki dan kemudian ia disebarkan ke dalam kumpulan WhatsApp.


"Susulan itu, ketiga-tiga suspek sudah ditahan dan kes ini masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 147/507B Kanun Keseksaan," katanya.


Terdahulu, video memaparkan kejadian seorang pelajar lelaki dipukul pelajar lain tular di media sosial.


Berdasarkan video, ketika kejadian beberapa pelajar lain turut berada di kawasan itu dan ada yang cuba meleraikan kejadian serta menghalang suspek melakukan kekerasan terhadap mangsa.


EmoticonEmoticon