Selasa, 15 September 2026

Suami tikam isteri sebanyak 13 kali hingga maut akibat cemburu


Seorang wanita maut dipercayai ditikam suaminya sebanyak 13 kali menggunakan sebilah pisau lipat dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim Hi-Tech, Kulim, malam tadi. Difahamkan, kejadian berlaku dipercayai akibat cemburu.


Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring, berkata suspek berusia 43 tahun hadir ke Balai Polis Lunas kira-kira jam 8.40 malam tadi dan memaklumkan dia menikam isterinya berusia 39 tahun di rumah mereka di Taman Tiram, Kulim.


Beliau berkata, suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat dipercayai digunakan dalam kejadian itu.


"Tempat kejadian adalah rumah teres setingkat dan kejadian berlaku dalam bilik tidur utama yang didiami suspek, mangsa serta anak mereka berusia tiga tahun.


"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan dipercayai darah pada cadar tilam, bantal, kepala katil serta beberapa barangan di atas katil.


"Sepasukan anggota dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hadir dan mengambil 11 sampel berkaitan kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Syamsul berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara suspek dan mangsa berkaitan isu cemburu.


Katanya, suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali iaitu tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan menggunakan pisau lipat.


"Selepas kejadian, suspek kemudian mandi dan mengambil anaknya daripada pengasuh sebelum menyerahkan kepada kakaknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang.


"Suspek turut memaklumkan kepada kakaknya dia menikam isterinya sebelum ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri," katanya.


Syamsul berkata, mangsa dibawa ke Hospital Kulim oleh keluarganya dan disahkan meninggal dunia jam 9.30 malam tadi.


Beliau berkata, suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kulim di Balai Polis Lunas jam 9 malam tadi.


"Sebilah pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter dirampas sebagai barang kes. Hasil temu bual awal dengan jiran mendapati mereka tidak mendengar pertengkaran dipercayai akibat hujan lebat ketika kejadian.


"Suspek berasal dari Parit Buntar, Perak adalah penganggur, namun hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas dadah dan tiada rekod jenayah," katanya.


Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.


Setakat ini punca kejadian berlaku disebabkan suspek dipercayai menikam mangsa menggunakan pisau lipat ketika pertengkaran berkaitan cemburu dan masalah rumah tangga. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon