Orang ramai sekitar Sri Petaling, Kuala Lumpur, gempar susulan penemuan kotak plastik mencurigakan yang menghasilkan bacaan radiasi tinggi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan kotak mencurigakan itu pada 12.57 tengah hari daripada seorang wanita berusia 33 tahun yang mendakwa objek ditinggalkan di hadapan sebuah kedai.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati objek berkenaan mengeluarkan bacaan radiasi yang agak tinggi, sekali gus mendorong bantuan unit pakar ke lokasi kejadian.
"Unit Pemusnah Bom Polis Kuala Lumpur, Unit Bahan Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) Bukit Aman, serta Agensi Nuklear Malaysia kemudiannya dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan dan penilaian lanjut.
"Unit Pemusnah Bom seterusnya menggunakan alat Recoilless Disruptor 5.0 untuk memusnahkan objek yang mencurigakan itu," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menjelaskan, susulan tindakan pemusnahan itu, beberapa kotak yang disyaki mengandungi blok binaan berwarna-warni ditemui di dalam kotak berkenaan.
Fadil berkata, pemeriksaan susulan oleh Jabatan Tenaga Atom kemudiannya mengesahkan tiada lagi sebarang bacaan radioaktif dikesan di lokasi itu.
"Kami telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook tiba di lokasi kejadian sejurus selepas polis menerima maklumat mengenai insiden itu untuk memantau keadaan.
Terdahulu, video dan foto mengenai insiden berkenaan tular secara meluas di media sosial, memaparkan sebahagian kawasan komersial Sri Petaling yang sibuk, ditutup dengan pita polis.
Rakaman juga menunjukkan kenderaan polis serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berada di tempat kejadian, sementara orang awam menyaksikan operasi dari luar kawasan yang ditutup.
Hantaran di media sosial pada mulanya menyifatkan insiden itu sebagai ancaman bom, dengan seorang pengguna mendakwa Unit Pemusnah Bom berada di lokasi.
Satu lagi hantaran kemudian mendakwa objek itu telah diletupkan tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Fadil menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan ketakutan atau menggugat ketenteraman awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.


EmoticonEmoticon