Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan

Jumaat, 16 Oktober 2026

Mayat warga emas ditemui berlumuran darah di tepi jalan, lelaki kurang siuman ditahan

Mayat warga emas ditemui berlumuran darah di tepi jalan, lelaki kurang siuman ditahan


Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kecederaan di lengan, kepala dan muka di tepi jalan dalam kejadian di Permas Jaya, Johor Bahru semalam.


Difahamkan, mangsa yang juga warga tempatan berusia 67 tahun dipercayai maut akibat dipukul berkali-kali dengan objek tumpul di kepala.


Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait berkata, polis menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 4.54 petang.


"Susulan itu, kita memberkas seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, dipercayai kurang siuman yang terbabit dalam kejadian berkenaan.


"Suspek ditahan di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Baru Permas Jaya, jam 6 petang semalam.


"Polis turut merampas sebatang tongkat besi dan sebuah potret gambar bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.



Ng berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah, bagaimanapun ujian saringan air kencing adalah negatif dadah.


Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Beliau berkata, motif serta punca kejadian masih dalam siasatan.


"Bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Hospital Sultan Ismail, hari ini mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat trauma tumpul pada kepala," katanya.


Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki melakukan perbuatan mencurigakan di tepi jalan.

Khamis, 8 Oktober 2026

Terputus hubungan sejak September, ibu terkejut mayat anak ditemui dalam semak

Terputus hubungan sejak September, ibu terkejut mayat anak ditemui dalam semak


Mayat remaja lelaki dipercayai mangsa bunuh dengan kesan cedera di muka dan kepala ditemui di semak berhampiran Jalan Harvard di Gurun, Sungai Petani, hari ini.


Mayat Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 18, ditemui lengkap berpakaian sukan hitam dan kuning oleh orang awam jam 8 pagi tadi.


Ibu mangsa, Azura Zor, 41, berkata, dia terkejut apabila anggota polis datang ke rumahnya di Guar Chempedak dan menunjukkan gambar mayat lelaki untuk pengecaman.


Pada mulanya dia menyangka polis datang ke rumah untuk menahan anak sulungnya itu.


"Saya tak tahu anak saya itu tinggal di mana. Saya pernah cuba menghubunginya atau menghantar kiriman WhatsApp namun tiada jawapan.


"Kami cuba mencarinya namun tidak jumpa sehinggalah polis datang memaklumkan perkara itu.


"Polis beritahu anak saya ditemui terbaring di tepi jalan di lokasi kejadian pagi tadi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.


Menurutnya, hubungan dia dengan anaknya itu tiada sebarang masalah dan arwah pernah berkerja di kedai roti canai di Guar Chempedak.


"Namun kami terputus hubungan selepas anak keluar dari rumah sejak bulan lalu," katanya.


Menurutnya, suami, Mohd Shahrilnizam Che Sharif, 41, pernah menerima mesej WhatsApp daripada seseorang yang meminta wang sebanyak RM200.


"Mesej itu berkemungkinan dihantar kenalan anak saya itu. Namun kami tidak mengetahui tujuan permintaan itu.


"Arwah memang tiada masalah dengan kami malah dia suka bergurau dengan adik-adiknya. Kalau betul anak saya dibunuh, saya harap tindakan setimpal dikenakan terhadap pelakunya," katanya.


Terdahulu, jenazah Muhammad Haikal dibawa keluar dari Jabatan Forensik HSB sejurus selesai urusan bedah siasat sekitar jam 5.45 petang.


Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Isyak malam ini di Tanah Perkuburan Islam di Guar Chempedak.


Sementara itu, adik lelaki kedua mangsa yang masih berpakaian sekolah tidak dapat menahan sebak hingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga sebaik melihat jenazah abangnya di bilik mayat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, satu sidang media akan diadakan Ahad ini oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berhubung kejadian itu.

Isnin, 21 September 2026

Lelaki didakwa amuk dengan parang, campak budak dalam sungai hingga maut ditahan

Lelaki didakwa amuk dengan parang, campak budak dalam sungai hingga maut ditahan


Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dipercayai lemas selepas dicampakkan ke sungai oleh bapa saudaranya yang mengamuk sambil bersenjatakan parang di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, suspek berusia 37 tahun dipercayai mencampakkan mangsa ke sungai sebelum kanak-kanak berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, suspek turut mengejar bapa mangsa berusia 40 tahun dan mengugut mahu mencederakannya.


"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Kuala Sedili pergi ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek.


"Bagaimanapun, seorang anggota polis cedera disebabkan berlaku pergelutan ketika cuba menangkapnya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.


Menurut Yusof, pembantu pegawai perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan kematian kanak-kanak itu.


"Mayat kanak-kanak perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi sebelum dihantar ke Hospital Pasir Gudang untuk dibedah siasat," ujarnya.


Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek dipercayai mengalami masalah mental. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.


Suspek yang mengamuk dan mencampak seorang budak dalam sungai hingga maut di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi ditahan hari ini.

Ahad, 20 September 2026

Hilang 3 hari, wanita ditemukan maut dalam kereta bersama kenalan lelaki

Hilang 3 hari, wanita ditemukan maut dalam kereta bersama kenalan lelaki


Seorang lelaki dan wanita ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di Taman Inang Sari, Durian Tunggal, Alor Gajah, tengah malam tadi.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, berkata mayat lelaki dan wanita masing-masing berusia 31 dan 33 tahun itu ditemukan jam 1 pagi tadi.


"Siasatan awal ke atas kedua-dua mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah termasuk kemungkinan disamun atau berlaku pergelutan," katanya.


Ahmad berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan mengenai kehilangan wanita tersebut yang dibuat oleh ibunya pada 17 September lalu selepas mangsa gagal dikesan.


Bagaimanapun, katanya polis tidak sempat mengambil tindakan lanjut berhubung laporan kehilangan itu selepas menerima maklumat berkaitan penemuan dua mayat terbabit.


"Belum sempat kes orang hilang dibuka, kita menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat berkenaan.


"Pemeriksaan awal mendapati mayat wanita tersebut adalah individu yang dilaporkan hilang, manakala lelaki berkenaan dipercayai kenalannya," katanya.


Beliau berkata berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak, kedua-dua mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira tiga hari.


"Semakan mendapati kedua-dua mangsa beralamat di Melaka dengan wanita terbabit masih bujang. Majikan wanita itu juga memaklumkan mangsa tidak hadir bekerja sejak tiga hari lalu.


"Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.


Sementara itu, abang wanita berusia 31 tahun berkata, adiknya pernah memaklumkan hubungannya dengan lelaki berusia 34 tahun sudah lama berakhir.


"Mereka sudah lama berkawan dan hampir mendirikan rumah tangga sebelum ini namun tidak menjadi kenyataan.


"Arwah beritahu mereka sudah lama berpisah. Jadi saya amat terkejut apabila dihubungi rakan memaklumkan penemuan mayat mereka berdua dalam kereta berkenaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.


Lelaki itu yang kini menetap di Ampang, Selangor berkata, adiknya dibesarkan oleh nenek mereka sebelum mengambil keputusan tinggal bersama ibu saudara di Kampung Pulau, Durian Tunggal.


Katanya, dia turut membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Alor Gajah selepas dipanggil polis bagi membantu siasatan.


Sementara itu, seorang penduduk Shafie Manan, 71, berkata dia menyedari kejadian itu selepas terjaga daripada tidur kira-kira jam 3 pagi akibat terdengar bunyi siren kenderaan kecemasan.


"Sebaik buka pintu rumah, saya terhidu bau busuk. Saya tanya seorang penduduk yang memberitahu lelaki itu yang dikenali sebagai 'Pandan' meninggal dunia dalam kereta bersama seorang wanita," katanya.


Menurutnya, kawasan jalan mati di hadapan rumahnya itu sering dijadikan lokasi segelintir penduduk meletakkan kenderaan dan melepak, menyebabkan dia tidak mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku.


Katanya, mangsa lelaki terbabit bekerja secara kontrak dalam kerja pembinaan jalan dan tinggal bersama keluarganya di taman berkenaan.

Selasa, 15 September 2026

Kotak disangka bom di Sri Petaling rupanya berisi blok binaan berwarna-warni seperti Lego

Kotak disangka bom di Sri Petaling rupanya berisi blok binaan berwarna-warni seperti Lego


Orang ramai sekitar Sri Petaling, Kuala Lumpur, gempar susulan penemuan kotak plastik mencurigakan yang menghasilkan bacaan radiasi tinggi.


Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan kotak mencurigakan itu pada 12.57 tengah hari daripada seorang wanita berusia 33 tahun yang mendakwa objek ditinggalkan di hadapan sebuah kedai.


Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati objek berkenaan mengeluarkan bacaan radiasi yang agak tinggi, sekali gus mendorong bantuan unit pakar ke lokasi kejadian.


"Unit Pemusnah Bom Polis Kuala Lumpur, Unit Bahan Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) Bukit Aman, serta Agensi Nuklear Malaysia kemudiannya dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan dan penilaian lanjut.


"Unit Pemusnah Bom seterusnya menggunakan alat Recoilless Disruptor 5.0 untuk memusnahkan objek yang mencurigakan itu," katanya dalam satu kenyataan semalam.


Beliau menjelaskan, susulan tindakan pemusnahan itu, beberapa kotak yang disyaki mengandungi blok binaan berwarna-warni ditemui di dalam kotak berkenaan.


Fadil berkata, pemeriksaan susulan oleh Jabatan Tenaga Atom kemudiannya mengesahkan tiada lagi sebarang bacaan radioaktif dikesan di lokasi itu.


"Kami telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook tiba di lokasi kejadian sejurus selepas polis menerima maklumat mengenai insiden itu untuk memantau keadaan.


Terdahulu, video dan foto mengenai insiden berkenaan tular secara meluas di media sosial, memaparkan sebahagian kawasan komersial Sri Petaling yang sibuk, ditutup dengan pita polis.


Rakaman juga menunjukkan kenderaan polis serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berada di tempat kejadian, sementara orang awam menyaksikan operasi dari luar kawasan yang ditutup.


Hantaran di media sosial pada mulanya menyifatkan insiden itu sebagai ancaman bom, dengan seorang pengguna mendakwa Unit Pemusnah Bom berada di lokasi.


Satu lagi hantaran kemudian mendakwa objek itu telah diletupkan tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa.


Fadil menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan ketakutan atau menggugat ketenteraman awam.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.


Sebuah kotak plastik mencurigakan yang mencetuskan tindak balas keselamatan besar-besaran di Sri Petaling, semalam, dan pada awalnya merekodkan bacaan radiasi tinggi, kemudian didapati mengandungi beberapa kotak blok binaan berwarna-warni seperti Lego.

Ahad, 13 September 2026

Niat memancing bertukar ngeri, tiga lelaki jumpa rangka manusia disimen dalam tong

Niat memancing bertukar ngeri, tiga lelaki jumpa rangka manusia disimen dalam tong


Sebuah tong dipercayai berisi rangka manusia ditemukan di kawasan cerun berhampiran Kolam Takungan Air Machap, Alor Gajah, hari ini.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, tong berwarna biru berkenaan ditemukan tiga individu berusia 25 hingga 35 tahun ketika memancing di kolam takungan itu kira-kira 11.40 pagi.


"Curiga dengan penemuan tong tersebut, kumpulan pemancing berkenaan memotong sedikit bahagian atas tong berkenaan sebelum menemukan tulang yang disimen di dalam tong tersebut.


"Kumpulan pemancing tersebut kemudiannya membuat laporan polis dan pihak kami tiba di lokasi kira-kira 12 tengah hari," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, hari ini.


Ahmad berkata, siasatan awal mendapati rangka berkenaan telah mereput dan dianggarkan sudah melebihi tiga minggu.


Beliau berkata, pihaknya kemudian memohon bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka untuk mengangkat tong berkenaan yang berada di dalam cerun di pinggir jalan itu.


"Rangka itu dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenal pasti jantina serta identiti mangsa.


"Saya memohon jika ada pihak yang kehilangan anggota keluarga agar tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut," katanya.


Ahmad berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada balai polis terdekat.

Jumaat, 11 September 2026

Mayat bayi lelaki disembunyikan dalam loker asrama di Dungun

Mayat bayi lelaki disembunyikan dalam loker asrama di Dungun


Seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun melahirkan bayi lelaki yang dianggarkan berusia lapan bulan di sebuah tandas asrama institusi pendidikan di daerah Dungun, malam Rabu lalu.


Lebih mengejutkan, bayi berkenaan dipercayai dibungkus dengan kain sebelum dimasukkan ke dalam beg dan disimpan dalam sebuah loker di asrama berkenaan.


Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi itu pada jam 10.48 malam semalam.


Menurutnya, siasatan awal mendapati pelajar terbabit dipercayai melahirkan bayi itu di tandas asrama.


"Selepas melahirkan bayi meninggal dunia kemudian dia membungkusnya dengan kain sebelum memasukkannya ke dalam beg dan menyimpannya di dalam loker," katanya ketika dihubungi.


Nik Ab Halim berkata, perkara itu terbongkar selepas pihak pengurusan sebuah masjid menghubungi pengurusan institusi berkenaan dan memaklumkan pelajar terbabit meminta bantuan untuk menguruskan pengebumian bayi itu.


Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mengambil tindakan lanjut bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang berlaku.


Katanya, polis turut akan mengambil keterangan daripada saksi berkaitan selain menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dengan bantuan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.


"Polis juga akan mengesan teman lelaki pelajar terbabit bagi membantu siasatan," katanya.


Mayat bayi itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.