Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan

Jumaat, 25 September 2026

Dengar 'bisikan' punca lelaki Rohingya tetak, hiris rakan serumah hingga mati

Dengar 'bisikan' punca lelaki Rohingya tetak, hiris rakan serumah hingga mati


Dakwaan menerima 'arahan Tuhan' sebelum bertindak menghiris serta menetak rakan serumah di leher menggunakan parang dipercayai menjadi alasan yang diberikan seorang lelaki etnik Rohingya selepas ditahan di Pasir Mas pada Isnin.


Suspek berusia 21 tahun itu ditahan berkaitan kes seorang lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun ditemui mati di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di Taman Desa Kujid, Kampung Pak Boh, Kota Bharu pada Sabtu lalu.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek ditahan di rumah sewanya di Pasir Mas selepas dipercayai melarikan diri sejurus kejadian.


Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek mendakwa dia bertindak selepas mengalami halusinasi dan menerima arahan berkenaan.


"Dia kata....dia bangun awal pagi dan mendakwa menerima arahan Tuhan. Kita masih menyiasat perkara itu.


"Suspek macam mengalami halusinasi dan sama ada keadaan itu benar-benar berlaku atau tidak, ia perlu ditentukan oleh pakar perubatan," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Selasa.


Terdahulu pada Sabtu, Media melaporkan seorang lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun ditemui mati dengan kesan luka hiris dan tetak pada leher di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di Taman Desa Kujid, Kampung Pak Boh, Kota Bharu pada awal pagi Sabtu.


Pusat Kawalan Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima maklumat mengenai penemuan mangsa kira-kira jam 12.12 tengah malam.


Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di kawasan berkenaan.


Ujar Mohd Yusoff, suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu turut dipercayai menggunakan senjata tajam iaitu parang dalam kejadian berkenaan.


Jelas beliau, siasatan setakat ini juga mendapati tiada pergaduhan atau pergelutan berlaku antara suspek dan mangsa sebelum kejadian.


"Tak ada pergaduhan, tak ada pergelutan. Mereka berada di tempat yang sama dan ketika itu lepak seperti biasa," katanya.


Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya turut menyiasat persoalan berkaitan dokumen pengenalan suspek berikutan terdapat persamaan tarikh lahir dalam rekod yang diperoleh.


Jelasnya, perbezaan tarikh lahir yang dikesan hanya melibatkan tahun dan perkara itu sedang disemak bagi menentukan sama ada terdapat salah guna penggunaan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).


"Kita akan semak lanjut kerana ada kemungkinan memiliki kad yang palsu, tetapi perkara itu masih dalam siasatan," katanya.

Jumaat, 11 September 2026

Pengamal perubatan tradisional bebas tuduhan bunuh wanita, didapati tidak siuman ketika kejadian

Pengamal perubatan tradisional bebas tuduhan bunuh wanita, didapati tidak siuman ketika kejadian

(Gambar 4 tahun lalu)

Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini membebaskan seorang pengamal perubatan tradisional daripada tuduhan membunuh seorang wanita berusia 41 tahun yang mendapatkan rawatan daripadanya pada 2022. Ini selepas mendapati tertuduh wanita itu tidak siuman ketika kejadian berlaku.


Pesuruhjaya Kehakiman Suriyati Hasimah Mohd Hashim, di akhir kes pembelaan, mendapati Che Hong Chiew, 55, menghidap penyakit skizofrenia dan tidak memahami sifat serta akibat daripada tindakannya.


Suriyati memerintahkan Che ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak mengikut perkenan Sultan Selangor.


Che dituduh membunuh Lim Sin Hue, 41, di sebuah rumah di Pandan Perdana, Ampang, antara jam 4.45 petang dan 5 petang pada 27 Julai 2022.


Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan.


Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.


Berdasarkan fakta kes, Lim yang mengalami sakit perut dan percaya terdapat bayi di dalam perutnya pergi ke rumah Che selepas diperkenalkan oleh seorang rakan untuk menjalani ritual selama seminggu.


Ibu Lim memberi keterangan bahawa dia melihat Che meniarap di atas anaknya, menumbuk dada, memijak perut dan meletakkan mangkuk yang panas dan berasap di atas leher serta mulut mangsa sambil membaca mantera.


Rawatan itu diulang menyebabkan Lim tidak dapat menjerit atau bergerak, namun Che memberi amaran kepada si ibu agar tidak masuk campur. Kira-kira jam 5 petang hari berkenaan, Che memberitahu ibu Lim bahawa anaknya telah meninggal dunia.


Dia meminta maaf atas apa yang berlaku dan berjanji akan menjaga ibu mangsa sepanjang hayatnya. Che kemudian menguruskan jenazah dan memakaikan baju kepada Lim serta memberitahu bahawa "sifu" (gurunya) dan pihak polis sedang dalam perjalanan.


Si ibu segera menghubungi pihak polis serta hospital dan pegawai perubatan mengesahkan Lim telah meninggal dunia. Keputusan bedah siasat mendapati Lim meninggal dunia akibat trauma daya tumpul.


Beliau mengalami pelbagai kesan lecet dan lebam pada bahagian muka, dada, abdomen serta anggota badan atas dan bawah, selain beberapa tulang rusuk yang patah.


Ibu mangsa memberi keterangan bahawa Che telah mengunci dirinya dan Lim di dalam rumah semasa ritual bagi mengelakkan ia terganggu.


Che mendakwa dia mahu menyelamatkan Lim daripada gangguan syaitan dan tindakan memukul itu adalah untuk mengeluarkan hantu di dalam perutnya.


Pihak pembelaan berhujah bahawa Che, seorang jurusolek bebas dan ibu kepada dua anak, mengalami tekanan emosi yang teruk selepas anak bongsunya meninggal dunia dalam satu kemalangan. Dia kemudian bercerai pada tahun 2018 dan mula memencilkan diri.


Menurut pihak pembelaan, Che mula meluangkan lebih banyak masa di sebuah tokong dan mendakwa dia boleh melihat serta mendengar suara arwah anaknya, malah percaya anak itu akan kembali kepadanya.


Kira-kira sebulan sebelum kejadian, Che percaya arwah anaknya telah merasuki badannya. Dia mendakwa boleh berkomunikasi dengan anaknya serta mempunyai kebolehan untuk melihat makhluk halus dan membantu mereka yang dirasuki.


Che percaya Lim sedang diganggu oleh entiti halus di dalam badannya lalu merawat mangsa selama beberapa hari menggunakan mantera, doa, urutan herba Cina, bekam dan gua sha.


Dia mendakwa bahawa dua makhluk halus telah memasuki dan mengawal jasad serta fikirannya semasa dia merawat Lim.


Che berkata, dia kemudian menyedari secara tiba-tiba bahawa Lim sudah tidak lagi bergerak atau bernafas.


Pihak pembelaan menegaskan bahawa Che hanya berniat untuk mengeluarkan apa yang dipercayainya sebagai makhluk halus daripada badan Lim, dan tidak mempunyai niat untuk membunuh atau mencederakannya, mahupun menyedari bahawa tindakannya itu boleh membawa maut.


Pakar psikiatri, Dr Isabel Shamini David mendiagnosis Che menghidap skizofrenia dan mendapati dia tidak siuman semasa kejadian berlaku serta tidak menyedari sifat dan akibat daripada tindakannya, namun keadaannya boleh dikawal dengan ubat-ubatan dan rawatan.


Dalam alasan penghakimannya, Suriyati berkata, keterangan secara langsung dan berdasarkan keadaan membuktikan bahawa kematian Lim berpunca daripada tindakan Che ketika menjalankan ritual dan rawatan itu.


"Mahkamah ini mendapati keadaan mental Che pada masa kejadian adalah tidak stabil. Dia tidak memahami bahawa tindakannya adalah salah dan boleh menyebabkan kematian Lim.


"Keadaan mentalnya yang tidak stabil telah berlarutan dalam tempoh yang panjang, berpunca daripada kematian anak bongsunya yang menyebabkan kemurungan dan menyisihkan diri daripada masyarakat, selain diburukkan lagi dengan perceraian.


"Keadaan itu memberi tekanan emosi yang berat kepadanya, yang akhirnya membawa kepada diagnosis skizofrenia. Niatnya adalah untuk mengeluarkan apa yang dipercayainya sebagai hantu dari dalam perut Lim, bukannya untuk membunuhnya," katanya.


Timbalan Pendakwa Raya Ainul Mardiyah Mohd Ali mengendalikan pendakwaan, manakala peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Jeremiah Anand mewakili Che.

Ahad, 6 September 2026

Dua beradik maut selepas keluarga pilih rawatan mistik untuk rawat demam panas

Dua beradik maut selepas keluarga pilih rawatan mistik untuk rawat demam panas

(Foto Ilustrasi)

Dua beradik lelaki meninggal dunia selepas keluarga mereka dipercayai memilih rawatan mistik bagi mengubati demam panas yang dialami sebelum keadaan mereka semakin kritikal dan dikejarkan ke hospital.


India Today melaporkan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 15 dan 10 tahun mengalami demam bersama ibu mereka, Sangeeta Devi, kira-kira tiga hingga empat hari lalu.


Bagaimanapun, keluarga berkenaan dipercayai menganggap penyakit itu berpunca daripada kuasa ghaib dan mendapatkan khidmat seorang pengamal ritual tantrik untuk menjalankan upacara serta bacaan mantera di rumah.


Rawatan berkenaan dilaporkan dilakukan selama tiga hari, namun keadaan ketiga-tiga mereka terus merosot.


Apabila dua beradik itu tidak sedarkan diri, keluarga segera membawa mereka ke Hospital Sadar Ramgarh sebelum doktor mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia.


Sementara itu, keadaan ibu mereka turut kritikal dan Sangeeta dirujuk ke Rajendra Institute of Medical Sciences (RIMS), Ranchi untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Punca sebenar penyakit yang menyebabkan tiga anggota keluarga itu jatuh sakit masih belum dikenal pasti.


Susulan kejadian itu, Pegawai Pembangunan Blok Patratu, Manoj Gupta, mengunjungi kampung berkenaan dan menemui keluarga mangsa.


Beliau memberi jaminan bantuan kepada keluarga berkenaan selain memaklumkan usaha akan dilakukan bagi menyediakan pampasan mengikut peraturan kerajaan.


Dalam pada itu, pasukan Jabatan Kejuruteraan Kesihatan Awam turut mengambil sampel air daripada pam tangan berhampiran selepas tiga anggota keluarga itu jatuh sakit pada waktu hampir sama.


Sampel berkenaan akan diperiksa bagi menentukan sama ada pencemaran air atau jangkitan mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Sabtu, 15 November 2025

Satu lingkaran misteri berbentuk cincin hitam muncul di langit Disneyland

Satu lingkaran misteri berbentuk cincin hitam muncul di langit Disneyland


Satu lingkaran berbentuk cincin dan berwarna hitam muncul di langit sebuah taman tema terkenal di negeri California, lapor akhbar The Sun UK.


Lingkaran hitam itu dirakam di ruang udara Taman Tema Disneyland, bandar Anaheim, baru-baru ini.


Penemuan itu dirakam oleh seorang pengguna jalan raya bernama Lori Nayahalski sebelum dikongsi di media sosial.


"Lingkaran hitam ini tidak hilang. Saya juga tidak tahu tetapi ia adalah sesuatu," kata Nayahalski.


Rakaman video itu menjadi tular dan mengundang pelbagai teori konspirasi bahawa taman tema tersebut berada di bawah pencerobohan makhluk asing.


"Makhluk asing juga tahu di mana tempat paling bahagia dunia (Disneyland)," kata seorang netizen.


Satu lingkaran berbentuk cincin hitam muncul di langit Taman Tema Disneyland. - Foto Lori Nayahalski/KTLA5.

Rabu, 29 Oktober 2025

Misteri 'awan hitam' jatuh dari langit gempar penduduk Jawa Barat

Misteri 'awan hitam' jatuh dari langit gempar penduduk Jawa Barat


Penduduk di daerah Subang, Jawa Barat gempar dengan kemunculan beberapa gumpalan menyerupai 'awan hitam' yang jatuh ke kawasan pertanian dan sawah padi, lapor portal berita DetikJabar hari ini.


Kejadian luar biasa itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang tertanya-tanya sama ada fenomena tersebut ada kaitan dengan aktiviti semula jadi atau cuaca ekstrem.


Namun, Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Bandung mengesahkan bahawa fenomena berkenaan bukan disebabkan oleh proses semula jadi.


"Berdasarkan hasil kajian awal aspek meteorologi, fenomena tersebut tidak termasuk dalam kejadian alam yang disebabkan oleh proses cuaca, awan atau aktiviti atmosfera lain," kata Ketua BMKG Bandung, Teguh Rahayu dalam kenyataannya hari ini.


Hasil pemerhatian menunjukkan gumpalan hitam itu kemungkinan besar berpunca daripada aktiviti di permukaan bumi, bukan daripada proses atmosfera.


"Namun, bagi memastikan sumber serta kandungan bahan tersebut, disarankan agar pemeriksaan lanjut dilakukan oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar atau Agensi Pengurusan Bencana Daerah setempat," tambahnya.


'Awan hitam' yang jatuh di Subang kelmarin. - Foto TikTok@infobandungselatan.

Sabtu, 11 Oktober 2025

Identiti objek misteri meluncur laju merentasi sistem suria diketahui 2 minggu lagi

Identiti objek misteri meluncur laju merentasi sistem suria diketahui 2 minggu lagi


Identiti sebuah objek misteri yang meluncur laju merentasi sistem suria akan diketahui dalam masa dua minggu lagi, lapor portal berita Daily Star semalam.


Seorang profesor Universiti Harvard memberi amaran, ia mungkin kapal angkasa makhluk asing yang berbahaya dan menyamar sebagai komet.


Profesor astronomi Avi Loeb berkata, terdapat 30 hingga 40 peratus kemungkinan objek dinamakan 3I/ATLAS itu dibina oleh makhluk asing yang mahu mengancam manusia.


Menurutnya, objek itu ibarat kisah ‘Trojan Horse’, sama seperti kuda kayu gergasi dalam mitos Yunani purba.


Namun, kajian terbaru Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengesan kewujudan air yang terpercik daripada objek tersebut.


Ia dipercayai sebuah batu angkasa tetapi masih belum disahkan.


Gambar fail objek misteri 3I/ATLAS. - Foto NASA/ ESA/Hubble.

Ahad, 28 September 2025

Orang ramai mahu tangkap pocong suka kebas wang penduduk

Orang ramai mahu tangkap pocong suka kebas wang penduduk


Penduduk desa Sukamulya, Bekasi dalam wilayah Jawa Timur melakukan rondaan di sekeliling kampung untuk menangkap 'pocong' yang dituduh menjadi punca wang simpanan mereka hilang secara misteri, lapor portal berita Kumparan News.


Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @lambenya_emak menunjukkan orang ramai berarak mengelilingi kawasan kampung sambil membawa lampu suluh.


Ada antara mereka yang menjerit dan memanggil makhluk ghaib itu untuk muncul.


Difahamkan, mereka kerap ternampak susuk serba putih berkeliaran di sekitar kawasan kampung.


Lebih aneh, terdapat beberapa orang yang mengadu kehilangan wang sekitar 500,000 rupiah (RM127) sehingga 600,000 rupiah (RM152) selepas penampakan itu.


"Pocong itu sudah muncul sebanyak lima kali tetapi gagal ditangkap. Pocong itu juga adalah hantu palsu yang menggunakan ilmu hitam untuk menakutkan dan mencederakan orang ramai," kata seorang penduduk.


Tangkap layar video menunjukkan penduduk tempatan berarak di sekitar kawasan kampung untuk menangkap 'pocong'. - Foto TikTok.