Sabtu, 23 Mei 2026

Lelaki terperangkap 10 jam dalam dinding bangunan ketika cuba merompak


Seorang lelaki yang dipercayai cuba melakukan rompakan akhirnya menerima padah apabila terperangkap di dalam dinding sebuah bangunan kira-kira 10 jam.


Menurut laporan, lelaki itu cuba memasuki premis berkenaan melalui ruang sempit di antara dinding untuk melakukan kegiatan mencuri namun, usahanya gagal apabila tersekat dan tidak dapat keluar.


Keadaan itu hanya disedari oleh anggota polis dari Jabatan Polis Salinas yang sedang sarapan pagi di sebuah kedai kopi tempatan. Mereka terdengar suara meminta bantuan dari kawasan berhampiran.


Pada mulanya, polis memeriksa sekitar kawasan termasuk di dalam pawagam berdekatan sebelum menyedari suara tersebut sebenarnya datang dari dalam dinding yang memisahkan kedai kopi dan pawagam itu.


Pihak polis kemudian mengetuk dinding dan mendengar ketukan balas dari dalam.


Mereka cuba memotong sebahagian dinding di kedai kopi tersebut, namun hanya menemui blok simen dan konkrit.


Bagi menyelamatkan mangsa, anggota bomba terpaksa memecahkan bahagian lain dinding di sepanjang Main Street sebelum berjaya mengeluarkan lelaki terbabit yang dikenali sebagai Isaac Valencia.


Siasatan mendapati Isaac dipercayai terjatuh dari bumbung pawagam berhampiran ketika cuba melakukan kegiatan pecah masuk, sebelum tersepit di ruang sempit dalam dinding bangunan itu.


Media tempatan melaporkan lelaki itu dipercayai jatuh dari ketinggian kira-kira 22 kaki.


Selepas diberikan rawatan dan pemeriksaan kesihatan, Isaac kemudian ditahan dan dibawa ke Penjara Monterey County atas dakwaan pecah masuk.


Dalam kenyataan di media sosial, pihak polis berkata mereka bersyukur kejadian itu berakhir tanpa sebarang kecederaan serius.


"Kerja cemerlang oleh anggota syif malam kami yang walaupun keletihan, tetap mempercayai naluri mereka, terus berusaha," katanya.


EmoticonEmoticon