Ketika bahang pilihan raya semakin terasa, PAS hari ini memberi amaran keras kepada Bersatu, malah menyatakan mereka akan mengkaji sejauh mana kerjasama yang terjalin sekarang akan diteruskan.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan setakat ini parti itu masih bersabar dengan tindak-tanduk yang didakwanya dibuat Bersatu dalam beberapa perkara. Namun, tegas Ahli Parlimen Marang berkenaan, kesabaran mereka mempunyai batasnya.
"Kita tak kecewa… kita sabar, (tapi) sabar ada batasnya," tegasnya pada sidang media di Rusila, Terengganu, hari ini.
Abdul Hadi turut menjelaskan tindakan yang dibuat sekutunya itu dianggap membelakangi PAS.
Pertama, katanya, ia melibatkan dua orang Adun Negeri Sembilan yang menarik balik sokongan untuk menyingkirkan Menteri Besar Aminuddin Harun walaupun sudah berbuat demikian pada awal konflik tersebut.
"Setiausaha agung (PAS) menghantar surat kepada Bersatu berkenaan dengan langkah yang diambil Adun Bersatu di Negeri Sembilan menarik balik SD yang melanggar setiakawan antara kita.
"Alasan-alasan yang diberi kita tak boleh terima, Umno tak tarik. Mengapa Bersatu tarik balik?
“Sebelum ini Bersatu telah bertindak di Perlis menyokong undi tak percaya kepada menteri besar di Perlis, dia tak sokong dan kita mengambil tindakan disiplin terhadap Adun kita dan Bersatu tak bertindak apa-apa.
“Dia tonjolkan orang dia jadi Menteri Besar Perlis. Kita masih sabar sebab nak jaga perpaduan PN,” katanya.
Selain itu tambah Abdul Hadi, turut tidak menyenangkan PAS ialah pemecatan exco Kedah serta timbalan speaker di negeri berkenaan serta Kelantan.
“Bersatu suruh pecat tukar orang, kita melihat kepada prestasi orang ini (bekas ahli Bersatu) bukan nak pecat begitu, prestasi melaksanakan tugas dengan baik tak perlu dipecatlah.
“Terakhir (Bersatu) menyekat keahlian parti-parti Melayu Islam termasuk parti bukan Islam yang tidak ekstrem untuk menyertai PN,” kata Abdul Hadi lagi.
Mengulas lanjut, katanya, Bersatu tidak bersetuju untuk ditambah parti komponen PN dan perkara itu tidak menyenangkan PAS.
Abdul Hadi juga menyatakan kekecewaan PAS apabila selama ini Bersatu lebih ramai calon pilihan raya berbanding petugas dan jentera parti.

EmoticonEmoticon