Seorang suspek berusia 20 tahun di India ditahan selepas dipercayai membunuh lelaki yang menyamar sebagai wanita untuk menjalinkan hubungan dengannya.
Kes pembunuhan itu terbongkar pada minggu lalu selepas penemuan mayat berpakaian wanita sudah mereput di kawasan berhampiran landasan kereta api di daerah Rajkot, Gujarat.
Pada mulanya, pihak berkuasa mengklasifikasikan kematian itu sebagai kemalangan, namun keputusan post mortem mendedahkan kecederaan teruk pada kepalanya yang kemudiannya membuka kepada siasatan kes bunuh.
Berdasarkan beberapa maklumat termasuk rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV), penyiasat berjaya mengenal pasti pelaku, Piyush Kumar Kharwar, 20, yang berasal dari Uttar Pradesh.
Ketika disoal siasat, suspek mengaku melakukan pembunuhan itu. Kharwar mendedahkan dia mula berkenalan dengan Chandan Kumar di Hyderabad melalui media sosial.
Ketika itu, Kumar memperkenalkan dirinya sebagai 'Nisha Kumar' di Facebook. Mereka kemudiannya tinggal bersama, namun Kumar menolak untuk berhubungan intim menggunakan alasan kepercayaan agama.
Identiti sebenar mangsa terbongkar selepas Kharwar terlihat dia sedang bercukur hingga mencetuskan pertengkaran antara mereka.
Siasatan awal mendapati Kumar enggan memutuskan hubungan mereka dan terus mengekori Kharwar yang terpaksa berpindah-randah ke beberapa lokasi untuk melarikan diri.
"Kemuncak pertengkaran itu menyaksikan suspek bertindak menyerang mangsa dengan batu besar sebelum menyembunyikan mayatnya di bawah timbunan batu pada 21 Jun lalu.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan selepas mengambil keterangan suspek," kata jurucakap polis Vijay Singh Gurjar.


EmoticonEmoticon