Jumaat, 3 Julai 2026

Keputusan tangguh prosiding kebankrapan Najib dan anak ditetapkan 4 September ini


Rayuan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan akan diputuskan pada 4 September ini.


Prosiding itu dimulakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas kedua-dua mereka gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.


Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Dr Alwi Abdul Wahab menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Peguam Kanan LHDN Norhisham Ahmad.


Dua lagi hakim turut bersidang dalam panel sama ialah Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan.


Pada 17 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan bekas perdana menteri itu dan anaknya untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka.


Pesuruhjaya Kehakiman Suhendran Sockanathan@Saheran Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati tiada sebarang kemudaratan lain yang mewajarkan penangguhan.


Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Najib dan anaknya perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.


Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dikenakan taksiran cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion walaupun telah membayar cukai pendapatan.


Beliau berkata, taksiran yang terlalu tinggi itu dibuat berasaskan sumbangan daripada Arab Saudi yang diterima Najib dan dipulangkan semula selepas pilihan raya umum.


Muhammad Shafee berkata sumbangan itu, yang sepatutnya dikecualikan daripada cukai, telah 'tersilap' dianggap sebagai pendapatan tambahan dan seterusnya dikenakan cukai.


"Kami telah membangkitkan perkara ini sejak awal lagi, tetapi mereka (LHDN) tidak pernah menjawab bagaimana mereka mengira (taksiran cukai tambahan itu)," katanya.


Beliau sehubungan itu memohon mahkamah memberikan penangguhan prosiding kebankrapan sementara menunggu pendengaran di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) supaya Najib dapat mencabar taksiran cukai berkenaan.


Katanya, anak guamnya akan menghadapi masalah untuk mendapatkan khidmat peguam dan perlu membuat pembayaran melalui sumber lain jika diisytiharkan bankrap.


Sementara itu, Norhisham berhujah bahawa walaupun jumlah yang dikenakan terhadap Najib sememangnya tinggi, ia bukan alasan yang sah untuk membolehkan prosiding kebankrapan ditangguhkan.


Beliau berkata, jumlah yang besar tidak dengan sendirinya merupakan keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan.


"Undang-undang menetapkan beliau perlu membayar terlebih dahulu dan mempertikaikannya kemudian," katanya.


Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi yang berasingan membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin bagi tempoh antara 2011 hingga 2017.


Penghakiman terus ialah keputusan yang dibuat oleh mahkamah berdasarkan hujahan bertulis tanpa memanggil saksi memberi keterangan dalam perbicaraan.


LHDN memfailkan saman terhadap Najib, menuntut pemimpin politik itu membayar jumlah berkenaan bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


LHDN melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa anak Najib itu belum membayar cukai untuk tahun taksiran selama tujuh tahun bermula dari 2011, seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon