Jumaat, 3 Julai 2026

'Dia suami yang baik, bapa penyayang' - Isteri kongsi derita selepas suami etnik Rohingya ditahan

(Foto dijana AI)

"Dia suami yang baik dan bertanggungjawab. Dia sangat rapat dengan anak-anak." Demikian luahan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Intan, 36, ketika berkongsi kisah rumah tangganya bersama suami etnik Rohingya yang ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik sejak Oktober tahun lalu.


Menurutnya, dia mengenali suaminya ketika masing-masing berusia 19 tahun dan bekerja di bandar Alor Setar sebelum persahabatan mereka bertukar menjadi ikatan perkahwinan pada 2008.


"Hasil perkahwinan kami, kami dikurniakan enam cahaya mata berusia antara empat hingga 16 tahun. Semua anak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (PAKU) yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Amirul Syahir Musa di rumahnya di Alor Setar.


Intan berkata, keluarga menerima baik kehadiran suaminya kerana mengenali peribadi lelaki itu yang disifatkan sebagai seorang yang rajin bekerja, penyayang serta bertanggungjawab terhadap keluarga.


Katanya, suaminya dibawa masuk ke Malaysia oleh ibu bapanya ketika masih bayi dan telah lama menetap di negara ini sehingga fasih bertutur dalam dialek Kedah.


"Selama ini suami bekerja mengambil upah di kedai makan dan memotong rumput untuk menyara keluarga," ujarnya.


Bagaimanapun, kehidupan mereka berubah selepas suaminya ditahan pihak berkuasa dan ditempatkan di Depot Imigresen Belantik sejak Oktober tahun lalu.


Menurut Intan, suaminya memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan beliau dimaklumkan urusan pembebasan hanya boleh dipertimbangkan selepas proses berkaitan selesai.


Sepanjang ketiadaan suami, Intan berkata, dia bergantung kepada pendapatan menjual kuih selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,000 bagi menampung keperluan keluarga.


Lebih memilukan, katanya, anak sulung mereka terpaksa membantu mencari rezeki dengan bekerja di sebuah kedai makan selepas tamat sesi persekolahan selain membantu mengurus lima adiknya.


"Sedih tengok anak sulung terpaksa mengambil alih tanggungjawab ayah. Dia bekerja setiap hujung minggu sehingga lewat malam dan pada hari biasa jika dipanggil majikan," katanya.


Mengulas kecaman segelintir masyarakat terhadap etnik Rohingya, Intan berkata, dia memilih untuk tidak mengendahkannya kerana yakin suaminya seorang yang baik dan sentiasa mengutamakan keluarga.


Intan semasa menerima kunjungan Amirul Syahir (kiri) di rumahnya di Alor Setar. - Foto Sinar Harian.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon