Sabtu, 4 Julai 2026

Lelaki tiada lesen pandu lawan arus, rempuh 3 kenderaan sebelum larikan diri ke ladang sawit


Seorang lelaki nekad melarikan diri sejauh hampir 20 kilometer (km) dan merempuh tiga kenderaan lain termasuk sebuah kereta milik polis di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Rembau malam tadi.


Malah, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, lelaki itu dikatakan turut melawan arus dan hampir merempuh anggota polis yang bertugas hanya kerana tiada lesen memandu.


Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, pada mulanya pihaknya mengesan kenderaan yang dinaiki suspek tiada cukai jalan dan insurans sebelum diminta berhenti untuk pemeriksaan.


"Ketika petugas polis membuat rondaan di Kilometer (KM) 225 Lebuhraya PLUS arah utara, mereka membuat semakan terhadap sebuah kereta jenis Volkswagen Passat dan mendapati cukai jalan serta insurans tamat tempoh sejak 7 Mei lalu.


"Kemudian petugas polis menyalakan lampu beacon dan mengarahkan Volkswagen itu untuk berhenti tetapi pemandunya tidak mengikut arahan lalu terus memecut dan bergerak secara berbahaya (zig-zag)," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, anggota bertugas kemudiannya meminta bantuan anggota peronda Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) untuk menutup semua lorong di KM 242 arah utara.


"Ketika tiba di lokasi yang ditutup, pemandu Volkswagen bertindak bergerak secara melawan arus dan melanggar beberapa kenderaan untuk melarikan diri.


"Pemandunya kemudiannya dikatakan meninggalkan kereta di tepi lebuh raya dan melarikan diri ke ladang kelapa sawit dan semak berhampiran," katanya.


Beliau berkata, pemandu Proton Saga dan Toyota Yaris serta anggota bertugas tidak mengalami kecederaan, namun kenderaan masing-masing mengalami kerosakan.


"Semakan lanjut terhadap Volkswagen berkenaan mendapati cukai jalan dan insurans tamat tempoh sejak Mei lalu dan pemandu kenderaan juga tiada lesen memandu.


"Kami sudah mengenalpasti suspek ini yang berusia 30 tahun. Suspek diminta tampil menyerah diri dan sesiapa yang mempunyai maklumat juga diminta untuk menyalurkannya kepada polis," katanya.


EmoticonEmoticon