Suasana kecoh di pasar malam Taman Maluri, Cheras, apabila kira-kira 200 pengunjung disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) lari bertempiaran selepas menyedari kehadiran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.
Wartawan yang mengikuti operasi mendapati rata-rata warga asing ditahan mengunjungi pasar malam itu membeli barangan basah, makanan dan lauk-pauk yang dijual oleh peniaga tempatan.
Tinjauan di lokasi mendapati pasar malam itu menjadi lokasi tumpuan penduduk tempatan dan warga asing yang bekerja serta menetap di sekitar kawasan terbabit membeli barangan keperluan harian.
Hasil risikan dua minggu, sepasukan pegawai dan anggota berpakaian preman daripada JIM Kuala Lumpur dan Putrajaya diatur gerak ke lokasi terbabit menerusi Op Kutip dengan bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tepat 6 petang, beberapa kenderaan utiliti sukan (SUV) dilihat mengepung laluan masuk ke pasar berkenaan lantas pegawai dan anggota preman yang sudah bersedia menyamar sebagai pengunjung terus bertindak.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, keseluruhannya, 500 individu diperiksa terdiri daripada 407 warga asing dan 93 tempatan.
"Jumlah tangkapan kita ialah 200 orang, iaitu mengikut pecahan, 125 lelaki dan 75 wanita terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, China, Pakistan dan India.
"Lokasi ini jadi sasaran berdasarkan kepada aduan yang kita terima daripada masyarakat setempat. Kebanyakan, warga asing ini membanjiri kawasan ini," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, antara kesalahan dikesan dalam operasi itu antaranya tinggal lebih masa, tiada dokumen perjalanan sah, salah guna pas, melanggar syarat pas dan kesalahan lain-lain mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu Pengarah Penguatkuasa DBKL, Mohd Muzzamer Jamaluddin berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan di pasar malam di kawasan itu, dan mendapati rata-rata warga asing hanya datang sebagai pengunjung di situ.
Mengulas lanjut, Hamsha berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan di seluruh ibu negara bagi memastikan warga asing yang melanggar peraturan tidak senang duduk.
Katanya, selain pasar malam di kawasan itu, pihaknya akan turut menumpukan perhatian kepada pasar-pasar malam lain yang menjadi tumpuan warga asing di ibu negara.
"Saya ingin menegaskan bahawa tindakan penguat kuasa bukan sahaja tertumpu kepada pendatang asing tanpa izin, malah turut memberi fokus kepada majikan, pemilik premis, ejen, sindiket serta mana-mana individu yang melindungi PATI.
"Jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen dan akan terus melaksanakan operasi secara profesional, berintegriti serta berlandaskan peruntukan undang-undang.
"Saya juga ingin menyeru kepada masyarakat di luar sana supaya terus menyalurkan maklumat kepada JIM berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen," katanya.

EmoticonEmoticon