Teguran terhadap bunyi bising motosikal dipercayai menjadi punca tiga lelaki parah selepas diserang menggunakan pisau dalam satu pergaduhan di Kampung Muhibbah, Petagas, Putatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek berusia 37 tahun bertindak mencederakan tiga mangsa berusia antara 35 hingga 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung pergaduhan yang berlaku ketika sekumpulan individu sedang berkumpul dan bermain karom.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila suspek yang juga jiran mangsa melalui kawasan berkenaan dengan menunggang motosikal yang menghasilkan bunyi enjin kuat.
"Teguran oleh salah seorang mangsa kemudian mencetuskan pertengkaran sebelum keadaan bertukar menjadi pergaduhan.
“Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badan dan tangan akibat dicederakan menggunakan pisau," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sammy berkata, semua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Menurutnya, susulan kejadian itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama anggota Balai Polis Putatan berjaya menahan suspek pada jam 10 malam di sebuah kampung di Putatan.
"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku secara spontan akibat salah faham dan rasa tidak puas hati suspek selepas ditegur berhubung bunyi motosikalnya.
"Pemeriksaan turut mendapati tiada rekod perselisihan atau dendam terdahulu antara suspek dengan mangsa," katanya.
Beliau berkata, penahanan suspek membolehkan polis melengkapkan tindakan awal dalam usaha menyelesaikan kes berkenaan.
"Siasatan lanjut masih diteruskan, termasuk mengambil keterangan beberapa saksi dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi melengkapkan kertas siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau memuat naik sebarang imej dan video berkaitan kejadian di media sosial kerana tindakan itu boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

EmoticonEmoticon