Pemandu kereta yang terbabit kemalangan mengorbankan penunggang motosikal dan kemudian meninggalkan lokasi, ditahan ketika hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur semalam bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki tempatan berusia 30 tahun itu hadir pada 6.30 petang, kira-kira 12 jam selepas kemalangan berlaku.
Menurutnya, kejadian berlaku di Jalan Tun Razak, dari arah Menara TH Selborn menghala ke Bulatan Pahang yang berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira 6 pagi.
"Siasatan mendapati mangsa lelaki berumur 29 tahun menunggang motosikalnya di lorong kiri sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta yang kemudian dipercayai meninggalkan lokasi tanpa memberi bantuan kepada mangsa.
"Pelanggaran menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan dan parah di kepala serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Menurutnya, susulan siasatan JSPT Kuala Lumpur berjaya mengesan kenderaan terbabit dalam kejadian berkenaan, dengan pemandu dipercayai menggunakan kereta itu yang dimiliki secara sambung bayar.
"Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ujian pernafasan alkohol serta saringan awal air kencing dilakukan didapati negatif bahan terlarang," katanya.
Mohd Zamzuri berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Pendakwa Raya hari ini.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

EmoticonEmoticon