Sabtu, 22 Ogos 2026

Wanita bawa dua anak kecil dicekup khalwat bersama suami orang dalam bilik sewa


Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan pasangan yang masing-masing berstatus suami dan isteri orang kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik sewa di Pasir Gudang, Johor Bahru, awal pagi tadi.


Menurut JAINJ, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu dilakukan selepas penguat kuasa menerima aduan awam berhubung kehadiran pasangan itu di premis rumah kedai dua tingkat terbabit.


"Seorang wanita berusia lingkungan 20-an membuka pintu bilik selepas beberapa minit diketuk, namun pemeriksaan lanjut menemukan lelaki berusia 30-an di dalam bilik itu, selain dua kanak-kanak berusia empat dan satu tahun yang sedang tidur," katanya melalui kenyataan.


Siasatan awal, katanya mendapati lelaki itu bekerja di bandar raya ini, manakala wanita berkenaan tidak bekerja buat sementara waktu kerana menjaga anak.


Pasangan itu mengaku bukan suami isteri dan tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan ketika disoal siasat.


"Lelaki terbabit mendakwa mempunyai masalah rumah tangga dan tidak lagi tinggal bersama isteri, manakala wanita itu pula dalam proses perceraian dengan suami.


"Lelaki terbabit turut mendakwa membantu wanita berkenaan yang tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan dengan menanggung sewa bilik serta perbelanjaan makan minum," katanya.


Bagaimanapun, JAINJ memaklumkan siasatan mendapati kedua-duanya sudah mengenali satu sama lain sejak lebih setahun lalu ketika lelaki berkenaan bekerja sambilan sebagai pemandu e-hailing.


"Hubungan mereka kemudian menjadi semakin rapat selepas masing-masing berkongsi masalah rumah tangga sebelum mengambil keputusan untuk tinggal bersama di bilik berkenaan sejak beberapa bulan lalu.


"Dua kanak-kanak di dalam bilik adalah anak wanita berkenaan hasil perkahwinan sah," katanya.


Pasangan terbabit ditahan kerana untuk tindakan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon