Sabtu, 22 Ogos 2026

Lelaki ‘dikehendaki’ cederakan polis ketika proses tangkapan, parang dan pil yaba dirampas


Seorang lelaki yang mencederakan anggota polis ketika proses tangkapan, ditahan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Lubuk Bongor, dekat Jeli, jam 11 pagi pada Khamis.


Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, ketika serbuan, seorang lelaki tempatan yang juga suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang yang diselitkan di pinggangnya.


Katanya, suspek kemudiannya mengeluarkan kata ugutan untuk menyebabkan kematian sambil mengacukan parang ke arah anggota polis.


"Ketika polis berusaha membuat tangkapan, berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota serbuan. Dalam kejadian itu, seorang anggota polis cedera pada jari tengah tangan kiri serta bahu kiri.


"Suspek ditangkap dan keadaan berjaya dikawal tanpa kecederaan yang serius. Hasil pemeriksaan, polis merampas sebilah parang berukuran kira-kira 36 sentimeter termasuk hulu, satu plastik lutsinar mengandungi enam biji pil warna kemerahan yang disyaki dadah jenis yaba yang ditemukan di dalam sebuah beg pinggang," katanya menerusi satu kenyataan semalam.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek adalah individu yang dikehendaki oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Jeli kerana disyaki aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Jeli.


Katanya, suspek juga dikehendaki berhubung satu kejadian pada 19 Ogos lalu, apabila suspek dipercayai mengeluarkan kata-kata ugutan untuk menyebabkan kematian sambil mengacukan sebilah parang ketika serbuan dijalankan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.


"Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan lanjut," katanya.


Menurut beliau, pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bertindak mengugut, menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon