Polis sedang menjalankan siasatan terhadap seorang lelaki yang didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan sebuah kereta dipandu seorang wanita di Taman Keladi, Sungai Petani, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8 malam pada 20 Ogos lalu.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
"Kita meminta mana-mana individu yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
"Orang ramai yang berdepan kejadian seumpama ini juga dinasihatkan membuat laporan polis dengan segera atau menghubungi talian kecemasan 999," katanya.
Kejadian itu menjadi perhatian selepas satu hantaran tular di media sosial mendakwa seorang lelaki berkeliaran di sekitar kawasan perumahan berkenaan dan melakukan aksi tidak senonoh ketika seorang wanita masih berada di dalam keretanya.
Berdasarkan hantaran melalui Facebook (FB) pertubuhan sukarelawan Sungai Petani di Facebook mendakwa, wanita terbabit dikatakan masih berada di dalam kenderaan dan belum turun ketika lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan kereta.
Melalui hantaran sama turut mendakwa lelaki berkenaan pernah terbabit dalam kejadian mencuri pakaian dalam wanita, namun dakwaan itu belum disahkan polis.
Susulan itu, pertubuhan sukarelawan itu menasihatkan orang ramai, khususnya wanita yang memandu bersendirian, supaya sentiasa berwaspada terhadap keadaan sekeliling dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan sebarang gangguan atau perbuatan mencurigakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

EmoticonEmoticon