Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Temerloh yang dipatuk ular ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia, semalam, disahkan meninggal dunia awal pagi ini.
Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.50 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jenazah Allahyarham akan diuruskan dan disolatkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut, pagi ini.
Difahamkan, Allahyarham masih bujang dan mempunyai seorang kakak.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi semalam, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada bahagian kuku jari tengah tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular di Dewan Taman Temerloh Jaya.
Ketika kejadian, APM Daerah Temerloh dijemput menyertai Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan mengadakan demonstrasi pengendalian ular kepada peserta program berkenaan.
Che Adam berkata, selepas dipatuk, anggota terbabit keluar dari dewan untuk mencuci tangannya sebelum tiba-tiba pitam di luar dewan.
Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan HoSHAS untuk mendapatkan rawatan lanjut dan ditempatkan di Zon Merah di bawah pemantauan doktor.
Keadaannya terus dipantau sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi hari ini.


EmoticonEmoticon