Isnin, 29 Jun 2026

Wanita Thailand ditahan cuba seludup dua migran Myanmar di tempat duduk belakang kenderaan


Cubaan seorang wanita warga Thailand menyeludup dua wanita Myanmar di tempat duduk belakang kenderaannya gagal selepas ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, semalam.


Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perlis, Mohammad A'sim Md Ali berkata, kejadian disedari apabila pegawai bertugas di Kaunter Pemeriksaan Kenderaan Keluar mengesan gerak-geri mencurigakan pemandu berkenaan.


Beliau berkata, susulan kepekaan dan kewaspadaan pegawai terbabit, satu pemeriksaan terperinci dijalankan ke atas kenderaan dipandu wanita itu.


"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Toyota Corolla Altis bernombor pendaftaran Thailand itu menemukan dua wanita warga Myanmar yang bersembunyi di bahagian tempat duduk belakang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.


"Pemeriksaan mendapati kedua-dua wanita warga Myanmar itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohammad A'sim berkata, susulan penemuan itu, pemandu wanita warga Thailand bersama dua wanita Myanmar berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, manakala kenderaan terbabit turut disita.


Beliau berkata, kejayaan itu adalah kesinambungan usaha penguatkuasaan berterusan JIM Perlis yang sebelum ini turut menyertai Ops Bersepadu di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kilometer 27, Padang Besar pada 27 Jun lalu.


Operasi bersepadu itu membabitkan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).


"Sepanjang operasi itu, seramai 146 individu terdiri daripada warganegara Malaysia, Thailand dan Singapura diperiksa, namun tiada sebarang kesalahan imigresen dikesan.


"Bahagian Penguatkuasaan JIM Perlis akan terus mempergiat pelaksanaan operasi pemantauan, pengesanan dan verifikasi kehadiran warga asing secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang imigresen.


"Kejayaan menggagalkan cubaan penyeludupan ini membuktikan tahap profesionalisme pegawai barisan hadapan dalam terus menjadi benteng utama memperkukuh kawalan sempadan serta menjaga kedaulatan negara," katanya.


EmoticonEmoticon