Seorang lelaki didakwa di dua Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini atas 55 pertuduhan kerana gagal memberikan penjelasan munasabah berkaitan wang berjumlah RM107,440 dalam akaun bank miliknya.
Muhamad Fadzli Wahab, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Tertuduh didakwa memiliki wang antara RM800 hingga RM5,000 dalam akaun miliknya yang disyaki diperoleh secara curang daripada pemiliknya dan gagal memberi penjelasan memuaskan berhubung keseluruhan wang RM107,440 dalam akaun miliknya.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di mesin deposit tunai (CDM) Maybank Taman Ria Jaya, Sungai Petani antara 16 Februari 2023 hingga 26 Jun 2025.
Peguam tertuduh memohon mahkamah mengenakan ikat jamin rendah kerana anak guamnya hanya bekerja di kedai makan dengan upah RM50 sehari, selain menanggung tiga anak berusia antara 10 hingga 17 tahun yang masih bersekolah.
Pihak pembelaan turut memaklumkan tertuduh memberikan kerjasama sepanjang siasatan polis dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM29,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes 27 September depan.

EmoticonEmoticon