Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mengesahkan tidak ada warga asing termasuk etnik Rohingya mendapat tapak perniagaan di pasar tani di seluruh Terengganu.
Pengarah FAMA negeri, Muhamad Fadlee Hassan, berkata usahawan pasar tani juga sudah diberi amaran dikenakan tindakan termasuk pembatalan permit jika dikesan mengalibabakan lesen kepada warga asing atau menggajikan mereka mengendalikan perniagaan.
"Jika gerai dikendalikan warga asing tanpa kehadiran pemilik asal, permit perniagaan akan dibatalkan serta-merta," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhamad Fadlee berkata demikian ketika mengulas dakwaan dimuat naik di Facebook (FB) yang memaparkan seorang warga asing lelaki dipercayai etnik Rohingya sedang menjual sayur di tapak pasar tani di daerah Besut, Khamis lalu.
Katanya, siasatan dilakukan mendapati warga asing seperti diviralkan melalui FB itu menjual sayur di tapak pasar pagi dikendalikan agensi kerajaan lain dan bukannya di tapak pasar tani seliaan FAMA.
"FAMA hanya mengendalikan dua pasar tani di daerah Besut iaitu di Jertih dan di Kampung Alor Lintang pada setiap Khamis dan Sabtu bermula jam 7 pagi hingga 1 tengah hari.
"Berdasarkan gambar dimuat naik melalui laman sosial FB sejak Jumaat lalu, kelibat warga asing yang sedang menjual sayur itu bukan berlaku di tapak pasar tani seliaan FAMA, sebaliknya di tapak pasar pagi dikendalikan agensi kerajaan lain," katanya.

EmoticonEmoticon