Ahad, 30 Ogos 2026

Gara-gara RM1.70, dua premis berdepan denda sehingga RM100,000


Gara-gara mempamerkan harga mengelirukan, termasuk menyebabkan seorang pelanggan mengalami kerugian RM1.70, dua premis perniagaan di Kuching berdepan tindakan undang-undang dengan hukuman denda sehingga RM100,000.


Kesalahan itu dikesan dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak di beberapa premis perniagaan sekitar Kuching, Rabu lalu.


Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999, iaitu memberi gambaran mengelirukan mengenai harga barang yang dipamerkan untuk perdagangan.


Beliau berkata, kes pertama dikesan kira-kira jam 11.22 pagi di sebuah premis di Sejingkat apabila seorang peniaga mengenakan bayaran RM13.20 bagi satu produk sedangkan harga dipamerkan adalah RM11.50.


Menurutnya, perbezaan harga itu menyebabkan pelanggan mengalami kerugian RM1.70 dan pelanggan terbabit sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada peniaga serta meminta bayaran dikenakan mengikut harga yang dipamerkan.


"Bagaimanapun, peniaga berkeras dan enggan memberikan harga seperti yang dipaparkan," katanya dalam kenyataan.


Susulan itu, pihak penguat kuasa menyita satu salinan lesen ordinan perniagaan, empat resit jualan, satu tanda harga dan satu tanda harga promosi bagi membantu siasatan lanjut.


Matthew berkata, kes kedua pula dikesan kira-kira jam 12.43 tengah hari di sebuah premis di Stutong yang turut disyaki melakukan kesalahan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga barang dipamerkan.


Katanya, dalam pemeriksaan itu, penguat kuasa menyita satu salinan lesen ordinan perniagaan dan sepasang kasut dengan nilai rampasan RM29.90 untuk tujuan siasatan lanjut, manakala semua kes akan disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.


Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama bagi individu jika sabit kesalahan pertama


Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun manakala bagi syarikat pula, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM200,000 bagi kesalahan berikutnya.


Selain itu, Matthew berkata, KPDN Sarawak akan terus mempergiat pemantauan bagi memastikan peniaga tidak mengelirukan pengguna berhubung harga barangan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon