Isnin, 31 Ogos 2026

Kereta ditendang, cermin dipecahkan ketika pulang tonton aksi Liga Super


Dua lelaki berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka ditendang, dihentak dan cermin belakang dipecahkan menggunakan topi keledar oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali selepas menyaksikan perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.


Kejadian berlaku pada 10.48 malam ketika mangsa yang berusia 22 tahun bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan selepas menyaksikan perlawanan antara Melaka FC dan Negeri Sembilan FC.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian bermula apabila seorang lelaki tidak dikenali datang dari arah kanan jalan sebelum menendang Toyota Vios warna merah dinaiki mangsa sebaik keluar dari kawasan parkir stadium.


"Suspek yang memakai baju hitam dan berseluar denim biru kemudiannya mengejar mangsa bersama beberapa motosikal sebelum bertindak merosakkan bahagian belakang keretanya.


"Mangsa kemudiannya memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah restoran, namun seorang lagi suspek yang memakai baju lengan panjang warna hijau dan berseluar hitam bertindak menghentak bonet hadapan kereta menggunakan tangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, mangsa yang juga akauntan kemudiannya meneruskan perjalanan untuk melarikan diri, namun suspek terus mengekorinya sebelum memukul cermin belakang kereta menggunakan topi keledar sehingga pecah.


Halim berkata, ketika mangsa berhenti di hadapan sebuah klinik di Krubong, suspek terus menyerang dan merosakkan kenderaan sebelum mangsa berjaya melarikan diri dan membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak.


Menurutnya, siasatan lanjut ssedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.


"Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis kini menjalankan risikan bagi mengenal pasti dan mengesan suspek yang terbabit," katanya.


EmoticonEmoticon