Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan

Rabu, 14 Oktober 2026

Bekas pemain bola sepak berdepan hukuman mati, didakwa edar 72 kg kanabis

Bekas pemain bola sepak berdepan hukuman mati, didakwa edar 72 kg kanabis


Seorang bekas pemain bola sepak didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar, atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis atau ganja seberat 72 kilogram (kg) pada September lalu.


Tertuduh, Muhammad Faiz Nazri, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail pada Selasa.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 72 kg di tepi jalan selepas Plaza Tol Alor Setar Selatan, kira-kira jam 6.30 petang pada 24 September lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika hukuman mati tidak dikenakan, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sharmila Md Asri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang pernah beraksi bersama pasukan Piala Presiden sebuah negeri, kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 2 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Tertuduh yang berasal dari Perlis kemudian diperintahkan menjalani tahanan di Penjara Alor Setar sehingga tarikh sebutan tersebut.

Isnin, 14 September 2026

Atlet wanita cirit-birit terus berlumba, kawasan perlumbaan ditutup untuk pembersihan

Atlet wanita cirit-birit terus berlumba, kawasan perlumbaan ditutup untuk pembersihan


Keputusan seorang atlet wanita untuk terus berlumba dalam acara Ulike HYROX Beijing pada 12 September lalu selepas mengalami masalah sakit perut dan cirit-birit mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, lapor News18.


Menurut hantaran media sosial yang tular, atlet berkenaan meneruskan penyertaannya dalam usaha menamatkan acara itu dan mendapatkan kedudukan dalam pertandingan.


Difahamkan, walaupun sesetengah pengguna mengakui kehilangan kawalan terhadap fungsi tubuh boleh berlaku ketika melakukan aktiviti fizikal berintensiti tinggi, insiden itu dikritik susulan kebimbangan mengenai keadaan setempat selepas kejadian berkenaan.


Hantaran itu mendakwa, pencemaran berkenaan menjejaskan sebahagian laluan perlumbaan, tikar dan peralatan yang dikongsi, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada perlumbaan sepatutnya dihentikan atau atlet berkenaan menarik diri.


Isu itu kemudian beralih kepada tanggungjawab penganjur untuk memastikan peserta lain tidak terdedah kepada keadaan yang berpotensi tidak bersih.


Dalam pada itu, sesetengah pengguna berpendapat bahawa ketabahan atlet tidak sepatutnya mengorbankan kesihatan dan keselamatan peserta lain, manakala ada yang melihat tindakan meneruskan perlumbaan sebagai contoh keazaman.


Namun, sebahagian pengguna berpandangan membiarkan kawasan tercemar terus digunakan menjejaskan persaingan yang adil dan standard kebersihan asas.


Sementara itu, penganjur dalam kenyataan berkata, kawasan berkenaan ditutup bagi menjalani proses pembasmian kuman.


"Tiada sesiapa sepatutnya menghina, mengugut atau memalukan mana-mana atlet.


"Tiada tempat dalam komuniti kami untuk ancaman keganasan atau menggalakkan tindakan mencederakan seorang atlet," katanya penganjur dalam kenyataan.


Menurut media sama, hantaran yang dikongsi pengguna @iPaulCanada itu mendapat perhatian besar dalam talian dengan pengguna menyuarakan pendapat yang sangat berbeza mengenai tindakan atlet berkenaan.

Isnin, 7 September 2026

Adik sahkan legenda Harimau Malaya, Abdah berusia 72 tahun nikah gadis 20 tahun

Adik sahkan legenda Harimau Malaya, Abdah berusia 72 tahun nikah gadis 20 tahun


Teka-teki mengenai status legenda bola sepak negara, Datuk Abdah Alif akhirnya terjawab apabila adiknya, Datuk Yunus Alif mengesahkan abangnya itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan.


Yunus yang juga bekas pemain kebangsaan dan jurulatih berkata, Abdah, 72, melangsungkan pernikahan pada 27 Ogos lalu di Kuala Terengganu, dengan kedua-dua keluarga merestui perkahwinan berkenaan.


"Mungkin sekarang tengah berbulan madu. Sebab itu tak angkat (Datuk Abdah Alif) panggilan. Betul mereka dah nikah, dan kita doakan terbaik buat mereka berdua," katanya ketika dihubungi hari ini.


"Alhamdulillah mereka baru saja nikah pada 27 Ogos lalu. Kedua-dua keluarga bersetuju jadi tak ada masalah. Kita doakan agar mereka berdua berbahagia.


Pengesahan itu sekali gus menjawab persoalan selepas gambar Abdah bersama pasangannya yang difahamkan berusia 20 tahun tersebar di media sosial dan mencetuskan perhatian peminat bola sepak tempatan.


Yunus pada masa sama mendoakan agar perkahwinan abangnya bersama pasangan pilihan hati itu terus berkekalan dan dikurniakan kebahagiaan hingga ke akhir hayat.


"Semoga mereka bahagia dan kekal hingga ke Jannah," katanya.


Sebelum ini, meja sukan cuba mendapatkan pengesahan daripada Abdah berhubung gambar perkahwinan berkenaan, namun bekas pemain handalan Harimau Malaya itu gagal dihubungi.


Abdah bukanlah nama asing dalam lipatan sejarah bola sepak negara apabila menjadi antara tonggak penting skuad kebangsaan ketika era kegemilangan Harimau Malaya pada penghujung 1970-an dan awal 1980-an.


Malah, beliau antara pemain yang membantu Malaysia melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas skuad negara menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan.


Abdah ketika itu berada dalam satu generasi yang cukup disegani dan beraksi bersama barisan legenda seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir Ismail dan ramai lagi.


Bagaimanapun, Abdah dan rakan-rakan sepasukan tidak berpeluang beraksi di pentas Olimpik apabila Malaysia mengambil keputusan memboikot temasya Moscow 1980 sebagai tanda bantahan terhadap pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.


Kini, selepas sekian lama meninggalkan pentas persaingan bola sepak, nama Abdah kembali menjadi perhatian peminat selepas berita perkahwinan terbaharunya disahkan oleh adiknya sendiri.


Dengan restu kedua-dua keluarga, Yunus berharap perkahwinan legenda Harimau Malaya itu terus dilimpahi kebahagiaan dan berkekalan hingga ke Jannah.


Isnin, 31 Ogos 2026

Kereta ditendang, cermin dipecahkan ketika pulang tonton aksi Liga Super

Kereta ditendang, cermin dipecahkan ketika pulang tonton aksi Liga Super


Dua lelaki berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka ditendang, dihentak dan cermin belakang dipecahkan menggunakan topi keledar oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali selepas menyaksikan perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.


Kejadian berlaku pada 10.48 malam ketika mangsa yang berusia 22 tahun bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan selepas menyaksikan perlawanan antara Melaka FC dan Negeri Sembilan FC.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian bermula apabila seorang lelaki tidak dikenali datang dari arah kanan jalan sebelum menendang Toyota Vios warna merah dinaiki mangsa sebaik keluar dari kawasan parkir stadium.


"Suspek yang memakai baju hitam dan berseluar denim biru kemudiannya mengejar mangsa bersama beberapa motosikal sebelum bertindak merosakkan bahagian belakang keretanya.


"Mangsa kemudiannya memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah restoran, namun seorang lagi suspek yang memakai baju lengan panjang warna hijau dan berseluar hitam bertindak menghentak bonet hadapan kereta menggunakan tangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, mangsa yang juga akauntan kemudiannya meneruskan perjalanan untuk melarikan diri, namun suspek terus mengekorinya sebelum memukul cermin belakang kereta menggunakan topi keledar sehingga pecah.


Halim berkata, ketika mangsa berhenti di hadapan sebuah klinik di Krubong, suspek terus menyerang dan merosakkan kenderaan sebelum mangsa berjaya melarikan diri dan membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak.


Menurutnya, siasatan lanjut ssedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.


"Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis kini menjalankan risikan bagi mengenal pasti dan mengesan suspek yang terbabit," katanya.

Jumaat, 28 Ogos 2026

Murid maut didakwa dipaksa bersukan: Guru ditukar sementara tunggu siasatan - JPN Kedah

Murid maut didakwa dipaksa bersukan: Guru ditukar sementara tunggu siasatan - JPN Kedah


Guru yang dipercayai terbabit dengan kes seorang murid perempuan berusia 11 tahun yang didakwa meninggal dunia akibat penyakit jantung, namun dipaksa bersukan disahkan ditukarkan sementara menunggu keputusan siasatan.


Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, berkata guru berkenaan sudah ditukarkan ke sekolah baharu sejurus selepas siasatan awal dilakukan dan tindakan itu adalah langkah intervensi awal.


"Pada masa ini, tindakan telah diserahkan kepada unit integriti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan seterusnya.


"Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan memberikan ruang kepada pihak JPN dan KPM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.


Sementara itu, sumber dalaman sekolah memaklumkan kejadian yang membabitkan Allahyarham Nur Qaira Alisha Ahmad 'Ilwan itu berlaku pada 14 April lalu apabila murid berkenaan dikatakan terbabit dalam pemilihan bagi acara larian 80 meter untuk program sukan sekolah.


"Murid itu memang mempunyai sejarah penyakit jantung daripada kecil. (Selepas bersukan), murid berkenaan jatuh sakit dan mula mendapat rawatan pada 17 April dan tidak hadir ke sekolah selama empat bulan dan aduan daripada waris telah dibuat pada 10 Mei," katanya.


Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan unit integriti KPM mengambil tindakan selanjutnya berhubung kematian Nur Qaira Alisha, selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.


Beliau juga dimaklumkan bahawa JPN Kedah sudah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan keluarga arwah.


Sebelum ini, tular perkongsian bapa mangsa di media sosial yang mendakwa anaknya yang mengalami masalah jantung diarahkan oleh seorang guru untuk menyertai aktiviti larian pada pemilihan rumah sukan walaupun surat pengesahan mengenai penyakitnya itu diberi.


Akibat kejadian terbabit, Nur Qaira Alisha didakwa terlantar dan terpaksa memakai oksigen sebelum mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.49 malam, Rabu lalu.


Kejadian itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga alam maya yang mahukan tindakan segera diambil terhadap mereka yang terbabit.

Rabu, 19 Ogos 2026

Dua isteri bergaduh tarik rambut, jurulatih Piala Dunia Mesir pengsan

Dua isteri bergaduh tarik rambut, jurulatih Piala Dunia Mesir pengsan


Jurulatih Mesir, Hossam Hassan dilaporkan pengsan selepas dua isterinya terbabit dalam pergaduhan tarik rambut di hadapan pelancong yang terkejut, menurut laporan sensasi media, Ahad lalu.


Jurulatih bola sepak itu sedang menikmati percutian di kawasan pantai utara Mesir sebelum suasana bertukar kecoh di sebuah kafe hotel mewah di Porto Marina.


Pertengkaran antara isteri pertamanya, Howaida Al-Gharbawi dan isteri keduanya, Dina "Dan Adam" Mustafa, berlaku di sebuah bar hotel sebelum tercetus pergaduhan fizikal di hadapan orang ramai.


Ahli keluarga kemudian campur tangan sebelum pihak keselamatan dipanggil. Kedua-dua wanita itu dilaporkan mengalami luka dan lebam.


Tekanan akibat pergaduhan terbuka itu dikatakan terlalu berat buat Hassan. Menurut Al Arabiya, dia pengsan ketika cuba menghentikan pertelingkahan berkenaan.


Bagaimanapun, menurut Sky News Arabia, peguam Hassan menafikan dakwaan bahawa anak guamnya mengalami masalah kesihatan, menyifatkannya sebagai khabar angin dan menegaskan Hassan berada dalam keadaan sihat.


Susulan kejadian itu, pengurus Mesir berkenaan dikatakan sudah menceraikan isteri pertamanya, Howaida selepas kejadian pertelingkahan itu.


Dia secara rasmi menandatangani dokumen perceraian di pejabat pendaftar undang-undang di Kaherah.


Hassan sudah bersama Howaida selama beberapa dekad sebelum mereka tiba-tiba berpisah dan pasangan itu mempunyai tiga anak.


Mohamed Shams, wakil undang-undang isteri kedua, Dan Adam memberitahu Sky News Arabia: "Kami berharap perkara ini tidak berakhir dengan perceraian, tetapi keadaan sudah menjadi sehingga ke tahap ini."


Shams turut mendakwa anak guamnya menjadi mangsa "serangan yang dirancang" ketika percutian di Porto Marina.


Berbeza dengan pertelingkahan yang berlaku secara terbuka itu, Ahmed Hamad, peguam keluarga Howaida, enggan mengulas mengenai butiran perpisahan berkenaan dan berkata keluarga itu memilih untuk tidak memberikan kenyataan kepada media buat masa ini.


Hassan berkahwin dengan Dan Adam pada 2015 ketika masih bergelar suami kepada Howaida. Mereka kemudian berpisah seketika pada 2022 sebelum kembali berdamai.


Hassan (kiri) dan isteri pertamanya, Howaida Al-Gharbawi. - Foto The Sun.

Rabu, 5 Ogos 2026

Polis serah semula 222 motosikal disita kepada peserta RXZ Members 8.0

Polis serah semula 222 motosikal disita kepada peserta RXZ Members 8.0


Sebanyak 222 motosikal yang disita sepanjang program RXZ Members 8.0 pada Jumaat dan Sabtu lalu diserahkan semula kepada pemilik masing-masing selepas proses saman dan dokumentasi selesai.


Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, proses penyerahan motosikal berkenaan berjalan lancar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan dilakukan secara berperingkat pada Ahad serta Isnin. 


Beliau berkata, kebanyakan motosikal yang disita tidak terlibat dalam sebarang kejadian jenayah, sebaliknya tindakan itu dibuat atas kesalahan serta pelanggaran undang-undang jalan raya seperti pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, perlindungan insurans dan brek belakang.


"Pemilik motosikal telah mengakui kesalahan lalu lintas yang dilakukan. Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada penganjuran himpunan RXZ Members akan datang," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 


Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menghormati minat serta aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang.


Bagaimanapun, JPJ Terengganu menegaskan aspek keselamatan serta kepentingan awam perlu diberi keutamaan dalam setiap penganjuran aktiviti permotoran berskala besar.


Menurut agensi itu, pengukuhan budaya keselamatan membabitkan peserta, penganjur dan agensi berkaitan perlu dipertingkat bagi memastikan kelancaran setiap program.


"JPJ Terengganu mengambil serius kenyataan Ketua Pengarah Datuk Aedy Fadly Ramli berhubung aduan masyarakat terhadap segelintir peserta RXZ Members 8.0 yang menunggang secara tidak selamat, sekali gus menyebabkan kesesakan serta membahayakan pengguna jalan raya lain.


"Oleh itu, JPJ Terengganu akan meneruskan penguatkuasaan secara tegas, berhemah dan berasaskan risiko, khususnya terhadap kesalahan yang menjejaskan keselamatan, pengubahsuaian yang tidak mematuhi spesifikasi serta tindakan menunggang secara berbahaya bagi memastikan setiap aktiviti berlangsung dengan selamat," katanya.