Selasa, 27 Januari 2026

Kerajaan setuju ujian diagnostik kemasukan murid tahun satu usia 6 tahun tak dilaksanakan - PM


Kerajaan bersetuju ujian diagnostik ditiadakan bagi kemasukan murid ke tahun satu pada usia enam tahun bagi mengelak kanak-kanak tercicir daripada sistem persekolahan dan mengalami kerugian pembelajaran sehingga setahun.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata ujian berkenaan suatu perkara rasional kerana ia satu sistem penilaian sebelum seseorang murid itu masuk ke sekolah.


Beliau berkata perkara itu sudah pun diteliti termasuk kebimbangan pelaksanaan cadangan ujian diagnostik boleh memberi kesan psikologi dan bersifat diskriminatif kepada kanak-kanak.


"Tetapi saya ingin tekankan, cadangan supaya ditiadakan adalah baik kerana ia nanti menjadi diskriminatif iaitu seseorang kanak-kanak masuk darjah satu dan masuk prasekolah kerana layak dan seorang yang lain kurang cerdik dan sebagainya tidak layak, mungkin ada kesan psikologi.


"Jadi cadangan supaya ditiadakan dipersetujui, tetapi kita bagaimanapun perlu pantau tanggungjawab guru dan ibu bapa untuk pantau kelayakan anak-anak itu.


"Dan, saya fikir oleh kerana dimulakan dengan prasekolah itu ada kebijaksanaannya kerana ia beri ruang kepada kita untuk satu tahun menilai," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian menjawab soalan Syed Saddiq Syed Rahman (MUDA-Muar) mengenai kebimbangan nasib murid yang tidak melepasi kelayakan ujian diagnostik hingga mereka akan keciciran pembelajaran.


Anwar berkata, ketiadaan ujian itu tidak bermakna aspek pemantauan diketepikan, sebaliknya tanggungjawab guru dan ibu bapa perlu diperkukuh bagi memantau tahap kesediaan serta perkembangan pembelajaran kanak-kanak.


Sambil itu, beliau menyifatkan permulaan pendidikan melalui prasekolah sebagai langkah yang proaktif kerana ia memberi ruang selama setahun untuk penilaian dan pemerhatian awal.


"Pada masa sama, sistem penilaian kecil tetap akan dilaksanakan di peringkat tahun empat bagi membolehkan intervensi awal dibuat sekurang-kurangnya dua tahun sebelum murid melangkah ke tingkatan satu.


"Dalam pendidikan, apa sahaja peringkat penilaian tidak terkecuali dan mengundang kontroversi seperti ambil peperiksaan darjah tiga salah, darjah empat salah, darjah enam salah, tidak buat langsung pun salah," katanya.


Sehubungan itu, Anwar meminta ibu bapa memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pendekatan awal ini dan menilai keberkesanannya dari semasa ke semasa.


This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon