Tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang disifatkan sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menegaskan tuntutan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap kedaulatan Pulau Pinang adalah tidak berperlembagaan.
"Tuntutan Menteri Besar Kedah terhadap Pulau Pinang adalah tidak berperlembagaan, sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah yang ditolak berdasarkan prinsip undang-undang dan kedaulatan negara," katanya ketika berbahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Kon Yoew berkata Pulau Pinang adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.
Kedudukan itu turut diperkukuh melalui Perjanjian Malaysia 1963 yang menegaskan Pulau Pinang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan kepada tuntutan sejarah sebelum merdeka.
Beliau menambah sempadan negeri telah dimuktamadkan melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pindaan Sempadan) 1985 yang digubal Parlimen selaras dengan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam sistem persekutuan, sempadan negeri tidak boleh diubah sewenang-wenangnya, apatah lagi melalui kenyataan politik tanpa proses perundangan sah. Tuntutan sebegini jelas bertentangan dengan semangat federalisme," katanya.
Chow turut memberi amaran bahawa dakwaan sedemikian membuka ruang yang boleh menggugat kestabilan negara.
Sebelum ini, Sanusi menyatakan kerajaan Kedah mempunyai rancangan lebih luas berhubung tuntutan terhadap Pulau Pinang, termasuk cadangan menjadikan negeri itu sebagai wilayah khas seumpama kedudukan Hong Kong dengan China. Bagaimanapun, butiran lanjut tidak didedahkan.

EmoticonEmoticon