Hanya kerana cemburu, seorang wanita didakwa sanggup membawa baldi berisi najis manusia sebelum menyimbah kandungannya ke arah jirannya, lapor Benin Web TV.
Suspek, Yirsi Esperanza Machado Rivera, 50, ditahan selepas kejadian pada 7 September dan berdepan pertuduhan menceroboh kediaman berpenghuni serta mendatangkan kecederaan.
Berdasarkan laporan penahanan yang dipetik NBC Miami dan People, kedua-dua wanita berkenaan tinggal di unit bersebelahan dalam treler rumah di Royal Country Mobile Homes, bahagian barat laut Miami-Dade County.
Machado Rivera didakwa mengetuk pintu rumah jirannya sebelum menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suaminya.
Suspek kemudian didakwa menceroboh masuk ke kediaman berkenaan tanpa kebenaran sebelum menolak penghuni terbabit.
Penyiasat mendakwa Machado Rivera selepas itu menyimbah kandungan baldi berkenaan ke arah mangsa. Seorang saksi dilaporkan memberitahu polis bahawa suspek menyatakan dia menyediakan bekas itu untuk menyimbah kandungannya ke muka mangsa.
Bagaimanapun, Machado Rivera menafikan dakwaan berkenaan ketika disoal siasat dengan mendakwa menggunakan baldi itu kerana tandas rumahnya rosak dan cuba membuang kandungannya selepas menerima aduan mengenai bau busuk.
Suspek turut menafikan menceroboh rumah jirannya atau menyimbah kandungan baldi itu ke arah mangsa selain mendakwa kepalanya dipukul menggunakan kayu pemukul ketika pertengkaran berlaku.
Machado Rivera dihadapkan ke hadapan Hakim Mindy Glazer pada 8 September sebelum majistret memerintahkan dia ditahan tanpa jamin serta melarang sebarang hubungan dengan pengadu.
Machado Rivera masih berada dalam tahanan sehingga 13 September di Pusat Tahanan Turner Guilford Knight, menurut rekod dalam talian yang disemak People.
Semua dakwaan terhadapnya masih berupa pertuduhan dan tidak membuktikan kesalahannya, manakala suspek dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

EmoticonEmoticon