Jumaat, 18 September 2026

Penangkap anjing liar digantung tugas selepas video tunjuk isyarat lucah tular


Seorang penangkap anjing liar yang dilantik Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) digantung tugas selepas klip video memaparkan dia menunjukkan isyarat lucah kepada orang awam tular di media sosial, semalam.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon menegaskan, tindakan biadab pekerja berkenaan tidak boleh diterima sama sekali.


Beliau berkata, individu terbabit kini digantung kerja sementara menunggu siasatan lanjut, manakala pihak kontraktor serta wakil persatuan hak asasi haiwan dipanggil bagi membantu siasatan.


"Siri operasi penangkapan haiwan liar selepas ini akan dipantau secara ketat bagi memastikan ia dijalankan secara profesional serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.


Menerusi rakaman video yang tular itu, beberapa pekerja penangkap anjing memakai ves MPBP dilihat sedang menangkap seekor anjing liar sebelum ditegur seorang individu dari dalam kereta yang merakam tindakan mereka.


Bagaimanapun, salah seorang pekerja terbabit bertindak di luar kawalan apabila memberikan isyarat tangan menghina dan tidak sopan ke arah perakam video berkenaan.


Video itu mencetuskan kemarahan netizen yang mendakwa haiwan berkenaan ditangkap secara kasar dan tidak berperikemanusiaan, selain mengecam sikap agresif pekerja terbabit.


Sementara itu, MPBP dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan insiden berkenaan melibatkan pekerja kepada kontraktor pengurusan haiwan liar yang dilantik pihak PBT.


"Pihak majlis akan memanggil kontraktor terbabit dan wakil pencinta haiwan untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Pihak kontraktor juga diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap pekerja berkenaan sekiranya terbukti berlaku salah guna kuasa atau pelanggaran tatatertib," menurut kenyataan itu.


Dalam pada itu, MPBP turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengganggu atau memprovokasi anggota yang sedang menjalankan tugas rasmi.


MPBP menegaskan komitmen mereka untuk kekal telus dan menjaga kebajikan komuniti, selain mempertingkatkan pemantauan agar insiden seumpama itu tidak berulang lagi demi keselamatan awam.


This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon