Seorang remaja lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini kerana disyaki menikam adik iparnya sebanyak tiga kali sehingga cedera di belakang dan paru-paru semalam.
Perintah reman ke atas suspek berusia 17 tahun yang juga pembantu kedai menjual barangan terpakai dibenarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Berdasarkan laporan, kejadian berlaku jam 5 pagi semalam di sebuah rumah di Taman Desa Sri Banang, Minyak Beku apabila suspek menikam dada dan belakang mangsa berusia 18 tahun dipercayai menggunakan pisau sepanjang 14.5 sentimeter.
Sehari sebelum kejadian, mangsa dan isterinya yang juga adik suspek berusia 14 tahun bertengkar jam 5 petang yang turut disaksikan suspek, namun lelaki itu hanya berdiam diri.
Suspek dikatakan pulang ke Rengit pada malam sebelum kejadian dan kembali ke rumah didiami mangsa tanpa disedari ahli keluarga lain.
Sebaik tiba di rumah, suspek menendang mangsa yang ketika itu sedang tidur dan sebaik terjaga, suspek terus menikamnya. Kejadian tidak disedari ahli keluarga kerana mereka semua sedang tidur.
Selepas menikam mangsa, suspek melarikan diri, manakala mangsa yang cedera parah kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) oleh ibu mentuanya.
Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan dan menahan suspek di sebuah kedai menjual barangan terpakai jam 12.30 tengah hari bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, mangsa masih dirawat dan keadaannya dilaporkan stabil.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau benda berbahaya," katanya.

EmoticonEmoticon