Pasangan pesalah kes khalwat terkedu apabila Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu, hari ini memutuskan mereka dikenakan hukuman tambahan enam kali sebatan setiap seorang.
Hukuman itu diputuskan panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Abd. Malik Wan Sidek bersama Datuk Abdul Walid Abu Hassan dan Datuk Mohd. Yazid Mustafa selepas sebulat suara membenarkan permohonan semakan dikemukakan Ketua Pendakwa Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail.
Sebelum ini, kedua-dua pesalah, Mohammad Farish Ezmie, 41, dan Che Nurul Syamilia Che Mat Hamdan, 20, yang kini sudah mendirikan rumah tangga masing-masing dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, pada 11 Mac lalu.
Ketiga-tiga panel hakim syarie turut mengekalkan hukuman denda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar.
Mahkamah menetapkan hukuman sebatan perlu dilaksanakan dalam tempoh sebulan selepas sabitan dengan jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua pesalah.
Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Farish dan Che Nurul Syamilia yang sewaktu kejadian bukan mahram didakwa berduaan di dalam sebuah bilik hotel di Kemaman pada pukul 1 pagi, 14 Disember 2025.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) dan 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Sebelum ini, Mohammad Farish dan Che Nurul Syamilia pernah mempunyai rekod lampau juga atas kesalahan khalwat bersama dengan sabitan dikenakan masing-masing pada 4 November 2025 dan 23 September 2025.

EmoticonEmoticon