Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 bulan di Mahkamah Majistret Kuching, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan kenalannya mengunakan sebilah parang, gara-gara tidak berpuas hati dengan wang hasil jualan buah mangga.
Majistret Nur Syaheeqa Nazwa Radzali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Razali Roshidi, 44, yang dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Seksyen terbabit membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana daripada dua seksaan tersebut, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mencederakan seorang lelaki berusia 47 tahun dengan menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian iaitu sebilah parang.
Kesalahan itu dilakukannya sekitar jam 12 tengah hari pada 20 November 2025 di sebuah rumah di Kampung Bintawa Hilir, Kuching.
Fakta kes mendedahkan mangsa pulang ke rumahnya pada hari kejadian setelah menerima panggilan telefon daripada isterinya.
Setibanya di rumah, mangsa mendapati terdapat dua orang lelaki dikenali berada di hadapan rumah dengan membawa sebilah parang.
Salah seorang lelaki berkenaan mengamuk serta hendak penyerang mangsa, namun mangsa berjaya merampas parang berkenaan, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan luka kecil pada bahagian leher dan bahagian lutut.
Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis dan hasil siasatan membawa kepada penangkapan tertuduh pada 20 November 2025.
Semasa tangkapan dibuat, polis merampas sebilah parang berhulu dan berwarna hitam daripada tertuduh.
Siasatan lanjut mendapati dua lelaki terbabit datang ke rumah mangsa untuk meminta wang hasil penjualan buah mangga daripada isteri mangsa.
Mangsa menyoal isterinya mengenai perkara tersebut, namun isteri mangsa menafikannya. Keadaan ini menyebabkan tertuduh mengamuk dan seterusnya mencederakan mangsa menggunakan parang.
Susulan kejadian itu juga, mangsa mengalami cedera ringan di bahagian kiri leher serta bawah lutut kaki kiri, yang kemudiannya disahkan oleh pegawai perubatan.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Radhiah Abdul Rahman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

EmoticonEmoticon