Peminat bola sepak dunia meluahkan rasa berang dan menuduh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melakukan pengkhianatan besar selepas terdedah bahawa tiket paling murah untuk aksi perlawanan akhir Piala Dunia 2026 berharga mencecah 3,120 pound (kira-kira RM17,144).
Malah, penyokong England terpaksa berputih mata apabila perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya 200 pound (RM1,098) hanya untuk menyaksikan skuad kendalian Thomas Tuchel menentang Croatia dalam aksi pembukaan kumpulan mereka.
Harga tersebut adalah untuk tempat duduk kategori 'nilai' (value tier) di stadium berkapasiti 100,000 penonton di Dallas.
Bagi tiket kategori 'standard', harganya mencecah 373 pound (RM2,049), manakala tiket 'premier' pula diletakkan pada harga yang tidak masuk akal iaitu 523 pound (RM2,868) hanya untuk satu perlawanan peringkat kumpulan.
Angka-angka ini adalah untuk tiket yang dibeli melalui 'peruntukan ahli peserta' (PMA), atau dengan kata lain penyokong yang mendapatkan tiket menerusi kelab penyokong rasmi.
Pendedahan mengenai skala harga tiket PMA ini telah mencetuskan kemarahan kumpulan penyokong di seluruh dunia.
Badan penyokong, Football Supporters Europe (FSE) mendedahkan bahawa berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini, peminat perlu membelanjakan lebih 6,000 pound (RM32,969) untuk menghadiri setiap perlawanan dari aksi pertama hingga ke final melalui peruntukan PMA.
Jumlah ini adalah lima kali ganda lebih tinggi berbanding kos yang perlu dibayar ketika Piala Dunia Qatar 2022.
"FSE terkejut dengan harga tiket melampau yang dikenakan oleh FIFA ke atas penyokong paling setia untuk Piala Dunia tahun depan.
"Ini adalah satu pengkhianatan besar terhadap tradisi Piala Dunia, malah ia mengenepikan sumbangan penyokong yang memeriahkan sukan ini," menurut kenyataan tegas badan tersebut.
FSE turut mendesak FIFA supaya menghentikan jualan tiket PMA serta-merta dan mengadakan rundingan dengan semua pihak yang terjejas untuk mengkaji semula harga tiket.
Kumpulan penyokong England, Free Lions menerusi hantaran di laman X menyokong kenyataan FSE dan menyifatkan harga tersebut sebagai mengejutkan dan jauh lebih tinggi daripada jangkaan.

EmoticonEmoticon