Jumaat, 12 Disember 2025

Tidak perlu iktiraf UEC selagi sistem itu tak harmoni aspirasi nasional - Tok Mat


Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dengan syarat ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan dan digubal menepati aspirasi nasional.


Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata selagi UEC tidak menepati ciri berkenaan, maka ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional.


Sebagai sebuah negara yang berdaulat, katanya sistem pendidikan mestilah dibina selaras aspirasi nasional.


"Ia mesti disandarkan pada misi, nilai, kepentingan dan cita-cita nasional dan ia mesti dilaksanakan dalam bahasa ibunda bagi memperkukuh identiti kebangsaan.


"Selagi tiada usaha mereformasi sistem UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan dan akan tidak perlu untuk diiktiraf dengan selayaknya," katanya melalui kenyataan semalam.


Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menempelak DAP dengan menyasarkan kecamannya kepada Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, sambil menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan tuntutan DAP berkait UEC.


Ini susulan kenyataan Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa DAP akan meminta pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pengiktirafan UEC.


Dalam pada itu, Mohamad menegaskan sebagai sebuah negara pelbagai kaum, bukanlah mudah untuk mengukuhkan perpaduan nasional.


Kerana itu, beliau percaya satu-satunya jalan bagi membentuk identiti nasional ialah melalui pendidikan dalam bahasa kebangsaan dan kurikulum yang direka bersumber kearifan tempatan dan diimbangi dengan standard antarabangsa.


"Kita lakukannya dengan mengambil kira agar standard kita tidak tersasar dari amalan terbaik antarabangsa," katanya.


Tambah beliau lagi, bagi meraikan kepelbagaian dan meraikan kepentingan kaum berlainan, kerajaan tidak pernah menghalang UEC, sebaliknya ia telah dilaksanakan oleh Dong Zong sejak 1975 lagi.


"...ia tidak menghadapi apa jua masalah pelaksanaan (sejak itu). Yang menjadi isu ialah pengiktirafan kelayakan tersebut," katanya.


Mohamad turut mengingatkan supaya pendidikan janganlah sesekali dipolitikkan kerana ia satu-satunya arena untuk anak-anak daripada pelbagai bangsa, belajar bekerjasama antara satu sama lain dalam semangat yang muhibbah.


Jelas beliau, rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem UEC tanpa sebarang halangan, namun janganlah kerajaan dipaksa mengiktiraf dan menyamaratakan kelayakan itu kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional.


"Bagi tujuan kemasukan ke universiti, ia tidak menjadi masalah. Ia diterima di kebanyakan universiti di Malaysia dan di luar negara," katanya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon